Berita Berita
Malaysia terajui usaha ASEAN bentuk tenaga kerja masa depan melalui AYOS 2025
KUALA LUMPUR, 23 Okt – Negara anggota ASEAN memperkukuh komitmen kolektif dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui penerimaan Kenyataan Bersama Mengenai Pembangunan Kemahiran Tenaga Kerja Masa Hadapan di ASEAN, yang dimuktamadkan sempena Forum Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN - Pembangunan Modal Insan (AFMM-HCD) di Kuala Lumpur, semalam.
Forum berprestij itu diadakan di bawah inisiatif Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 dan menjadi platform penting bagi menyatukan visi serantau ke arah melahirkan tenaga kerja inklusif, berdaya tahan serta bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.
Kenyataan bersama tersebut diserahkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, kepada Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Gilbert F. Houngbo, disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN lain semasa Majlis Perasmian Forum Kemahiran Global (GSF) 2025.
Menurut Steven Sim, ASEAN berhasrat menjadi hab bakat global dengan menggalakkan perkongsian amalan terbaik antara negara anggota bagi memperkukuh latihan kemahiran dan kebolehgerakan tenaga kerja rentas sempadan.
“Kita masing-masing mempunyai keutamaan, kepentingan dan hala tuju nasional. Namun, harus ada lebih banyak perkongsian amalan terbaik dalam latihan kemahiran, yang akhirnya akan membawa kepada penyeragaman piawaian kemahiran, pengiktirafan pensijilan kemahiran dan seterusnya kebolehgerakan kemahiran di seluruh rantau ini,” katanya.
Beliau menambah bahawa agenda kemahiran ASEAN berpaksikan tiga nilai utama iaitu kebolehcapaian, kebolehsuaian dan kemampanan.
“Latihan kemahiran mesti boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat, boleh disesuaikan dengan keperluan dunia sebenar khususnya dalam era Kecerdasan Buatan (AI) dan pendigitalan, serta perlu mampan dari segi sumber dan pembiayaan,” jelasnya.
Forum itu turut menegaskan pentingnya kerjasama serantau dalam memperkukuh pertukaran maklumat pasaran buruh, ramalan keperluan kemahiran, dan pelaksanaan inisiatif pembelajaran sepanjang hayat.
Ketua Pegawai Eksekutif Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Dr Syed Alwi Mohamed Sultan, berkata AYOS 2025 lahir daripada tekad bersama ASEAN untuk melengkapkan warganya dengan kemahiran dan nilai yang diperlukan dalam dunia yang pantas berubah.
“Setiap platform utama di bawah AYOS 2025 menandakan perjalanan kita daripada visi kepada tindakan bersepadu, dengan menggerakkan bakat, memperkasa keterangkuman dan mempersiapkan rantau ini untuk masa hadapan,” katanya.
Malaysia, melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRD Corp, memainkan peranan penting sebagai peneraju serantau dalam memperjuangkan pembangunan modal insan. AYOS 2025 menjadi bukti nyata kepimpinan Malaysia dalam menyatukan kerajaan, industri dan institusi pembelajaran untuk membina tenaga kerja ASEAN yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
Penerimaan kenyataan bersama ini melambangkan visi kolektif ASEAN untuk membentuk masa depan tenaga kerja yang kukuh, inovatif dan inklusif bersedia menempuh transformasi global melalui kemahiran digital, hijau dan kecerdasan buatan. - Media Telus
Berita berkaitan
October 24, 2025, 4:17 pm
Tiada lockdown di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Fahmi
October 24, 2025, 2:59 pm
Bayi 11 bulan maut, kereta keluarga terbabas selepas langgar sekumpulan lembu
October 24, 2025, 2:48 pm
Dua pasangan ditahan berkhalwat di hotel, beri alasan ‘berteduh sebab hujan’
October 24, 2025, 2:38 pm
Donald Trump tiba di Malaysia Ahad ini untuk hadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
October 24, 2025, 2:33 pm
Menteri Ekonomi ASEAN dijamu nasi lemak sempena Mesyuarat AECC ke-26
October 24, 2025, 2:27 pm
(VIDEO) Remaja 17 tahun jana RM76,000 jual video lucah dan eksploitasi seksual kanak-kanak – PDRM
October 24, 2025, 2:17 pm
PGA gagalkan cubaan seludup ganja dan beras di Pasir Mas, Tumpat
October 24, 2025, 1:05 pm
Tengku Muda Pahang nafi salah laku, jelaskan cadangan tujuh pemain warisan dibuat ikut saluran sah
October 24, 2025, 12:57 pm
