TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tun M kecewa disekat beri penjelasan dalam kes saman fitnah RM150 juta terhadap Anwar

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 23 Okt – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa kecewa terhadap cara pemeriksaan balas dijalankan dalam prosiding kes saman fitnah RM150 juta yang difailkannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Menurut Dr Mahathir, beliau tidak dibenarkan mengulas soalan yang dikemukakan oleh peguam bela pihak defendan dan hanya diminta menjawab “setuju” atau “tidak setuju”.

“Peguam Anwar melarang saya mengulas soalan yang mereka ajukan dan hanya menyuruh saya jawab setuju atau tidak setuju.

“Bukan itu sahaja, soalan yang diajukan tidak relevan dengan kes saman fitnah ini, jadi saya mungkin meninggal dunia sebelum kes ini selesai,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Donald Joseph Franklin.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi yang kini berusia 100 tahun itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ranjit Singh, yang mewakili Anwar dalam kes saman berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu pada Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: Perlaksanaan Sebuah Idealisme, dua tahun lalu.

Ranjit sebelum itu menyoal Dr Mahathir mengenai kekalahan parti Pejuang yang dipimpinnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Namun, Dr Mahathir menjelaskan bahawa perkara tersebut tidak relevan kerana isu utama dalam kes itu ialah dakwaan fitnah yang dibuat terhadap dirinya.

“Peguam menyerang dengan soalan-soalan peribadi sama ada saya seorang yang baik atau jahat. Sedangkan Anwar menuduh saya mencuri wang, tidak membayar cukai, menyalurkan wang ke luar negara dan memperkayakan anak-anak termasuk kroni.

“Soalan-soalan yang dikemukakan Ranjit mungkin mengambil masa 10 hingga 15 tahun untuk diselesaikan. Saya tidak ada masa, Yang Arif, kerana saya sudah berusia 100 tahun, saya tidak mampu jawab semua soalan ini,” katanya.

Beliau turut sempat berseloroh apabila seorang lagi peguam mewakili Anwar, Razlan Hadri Zulkifli menyatakan hasrat untuk menyoal lanjut pada prosiding akan datang.

“Kalau begini, saya akan hidup sehingga berumur 200 tahun,” katanya bersahaja yang disambut gelak kecil dalam mahkamah.

Susulan itu, mahkamah menetapkan Rabu depan untuk sambungan prosiding kes berkenaan.

Untuk rekod, Dr Mahathir memfailkan saman terhadap Anwar pada 3 Mei 2023, menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan yang didakwa berunsur fitnah dalam kongres berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Dr Mahathir mendakwa Anwar mengeluarkan kenyataan kononnya beliau “membolot” harta untuk anak-anak dan keluarganya serta memberikan layanan istimewa kepada golongan berpangkat tinggi.

Beliau menegaskan kenyataan itu tidak benar dan menjejaskan reputasinya sebagai negarawan serta bekas Perdana Menteri.

Dalam pernyataan pembelaannya bertarikh 14 Jun tahun sama, Anwar menafikan dakwaan itu dan menyifatkan saman tersebut bertujuan melemahkan kredibilitinya sebagai Perdana Menteri serta menimbulkan perpecahan kaum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Anwar turut membangkitkan isu pemberian kontrak secara langsung kepada Opcom Sdn Bhd — syarikat yang mana anak ketiga Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, pernah menjadi pengarah antara 30 Mac 1994 hingga 14 Oktober 2009.

Selain itu, beliau juga merujuk kepada Sijil Perakuan Segera yang difailkan pihak plaintif yang menyatakan saman itu perlu diselesaikan segera kerana enam negeri — Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah — akan membubarkan DUN untuk PRN.

— KOSMO! ONLINE

+ - reset