Berita Berita
Siasatan terhadap menantu Muhyiddin selesai, tunggu pertuduhan – SPRM
 
 SUBANG JAYA 29 Okt – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli perniagaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah diselesaikan dan kini hanya menunggu proses pertuduhan di mahkamah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya telah menyelesaikan rakaman percakapan semua saksi yang terlibat dalam siasatan kes rasuah dan penyelewengan projek di sebuah kementerian membabitkan Muhammad Adlan dan seorang peguam, Mansoor Saat.
“Kes ini telah selesai. Satu-satunya perkara yang tinggal ialah kami mahu dia kembali (ke Malaysia) kerana semua saksi telah dirakam percakapan.
Kami mahu mendakwa dia dan juga peguam terbabit,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (SEA-PAC) ke-21 di sini, hari ini.
Azam berkata, SPRM kini menjejaki aset milik Muhammad Adlan di luar negara, namun proses itu mengambil masa kerana memerlukan kerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa.
Menurutnya, siasatan terhadap aset berkenaan hanya akan diteruskan sekiranya ia mempunyai kaitan langsung dengan kes yang disiasat.
“Setakat ini kami tiada jawapan sama ada dia menggunakan proksi atau tidak. Tetapi kami percaya dia mempunyai aset di luar negara… kalau tidak, bagaimana dia boleh tinggal di sana,” katanya.
Tambah beliau, SPRM turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengesan lokasi sebenar Muhammad Adlan, selepas pasportnya dibatalkan oleh Jabatan Imigresen.
“Ada kemungkinan dia bergerak ke luar negara menggunakan dokumen perjalanan lain,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa SPRM sedang mengesan Muhammad Adlan dan Mansoor bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Dalam perkembangan lain, Azam berkata, Mesyuarat ASEAN-PAC kali ini memberi peluang kepada Malaysia, khususnya SPRM, untuk memainkan peranan penting dalam memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus baik di rantau ini.
Beliau berkata, mesyuarat itu turut meluluskan pelan tindakan ASEAN-PAC yang akan dikongsi bersama Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) untuk dibentangkan pada Persidangan Negara-Negara Pihak (CoSP) di Doha, Qatar pada 14 Disember ini.
Azam menambah, Malaysia akan terus menerajui ASEAN-PAC sehingga November tahun depan, sebelum menyerahkan jawatan pengerusi kepada Myanmar, dengan fokus terhadap pembinaan generasi belia bebas rasuah sebagai pemimpin masa depan.
Berita berkaitan
October 30, 2025, 8:54 pm
Gadis dilaporkan hilang ditemui maut dalam kereta di parkir pusat beli-belah
October 30, 2025, 8:43 pm
Proton lancar e.MAS 5, EV mampu milik pertama Malaysia bermula RM59,800
October 30, 2025, 4:21 pm
KPDN Pulau Pinang terima sembilan aduan berkaitan BUDI95 sejak dilancar
October 30, 2025, 2:17 pm
Trump terus puji Malaysia ketika lawatan di Jepun, sebut peranan negara bantu rundingan keamanan
October 30, 2025, 12:38 pm
'MOT hanya pemantau' - Anthony Loke jelaskan Aerotrain KLIA milik sepenuhnya MAHB
October 30, 2025, 12:17 pm
Anwar tegur pembangkang jangan jadi 'lebih Hamas dari Hamas’, ‘lebih China dari China’
October 30, 2025, 10:22 am
Kadar kemiskinan tegar turun kepada 0.09 peratus tahun lalu
October 30, 2025, 10:14 am
Budak 11 tahun cedera leher terkena tali di kawasan padang ubah suai di Klang
October 30, 2025, 10:12 am
PGA gagalkan cubaan seludup 325 liter petrol ke Thailand
October 30, 2025, 10:09 am

 
  
  
  
  
  
  
  
  
  
 