TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tak sempat selamatkan diri, lelaki maut dipijak gajah liar di Gua Musang

By
|
Kongsi
image

 

GUA MUSANG 31 Okt - Seorang mandur balak maut selepas dipercayai diserang sekawan gajah liar di kawasan rumah kongsi tapak pembalakan Felda Aring 8, di sini semalam.

Mangsa, Saidi Jahari, 43, ditemukan tidak bernyawa dengan kesan kecederaan parah di jalan keluar kawasan kongsi berkenaan, dipercayai akibat dipijak gajah liar.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.15 pagi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati semasa kejadian berlaku, enam pekerja pembalakan sedang tidur di dalam rumah kongsi berkenaan sebelum menyedari kehadiran sekawan gajah liar.

“Sebelum kejadian mereka terhidu bau gajah yang kuat dan mendengar bunyi bising di luar khemah sebelum menyedari sekawan gajah liar menghampiri kawasan terbabit.

“Kesemua pekerja bertindak melarikan diri ke kawasan hutan untuk menyelamatkan diri. Namun, seorang mangsa lelaki warga tempatan tidak sempat melarikan diri dan ditangkap oleh seekor gajah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sik berkata, beberapa jam kemudian, kumpulan pekerja yang melarikan diri kembali ke rumah kongsi dan mendapati mangsa masih hidup tetapi mengalami kecederaan serius, termasuk parah pada kedua-dua belah kaki.

“Mereka membawa mangsa masuk ke rumah kongsi bagi mendapatkan perlindungan sementara, namun tidak lama kemudian seekor gajah dipercayai ketua kawanan kembali ke rumah kongsi dan menyerang mereka.

“Kesemua mereka sekali lagi melarikan diri ke dalam hutan dan meninggalkan mangsa di lokasi. Selepas keadaan kembali tenang, pekerja kembali semula ke rumah kongsi dan mendapati mangsa sudah tiada,” katanya.

Hasil pencarian kemudian menemui mangsa dalam keadaan tidak bernyawa di jalan keluar kawasan kongsi dengan kesan cedera parah dan tubuh dipercayai dipijak gajah.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat. Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) turut dimaklumkan dan kini menjalankan usaha mengesan serta mengawal pergerakan kawanan gajah terbabit,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kerana tiada unsur jenayah dikesan.

“Pihak polis mengingatkan supaya tiada mana-mana individu membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa,” katanya.

 

+ - reset