TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Fadhlina tinjau persediaan sekolah hadapi banjir di Kedah

By
|
Kongsi
image

ALOR SETAR 31 Okt – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa tahap kesiapsiagaan sekolah di seluruh negara menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) berada dalam keadaan terbaik bagi memastikan keselamatan murid, guru dan warga pendidikan terus terpelihara.

Dalam satu kenyataan hari ini, KPM memaklumkan bahawa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengadakan lawatan kerja sehari ke Kedah bagi meninjau secara langsung persediaan menghadapi MTL serta kemungkinan berlakunya banjir.

“Menteri Pendidikan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan persediaan menghadapi MTL bersama-sama pengurusan tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan pegawai pendidikan daerah.

“Persediaan turut merangkumi keperluan melaksanakan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam situasi banjir,” menurut kenyataan itu.

Sebagai sebahagian daripada tinjauan tersebut, Fadhlina melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik, yang dikenal pasti sebagai pusat penempatan calon SPM sekiranya banjir berlaku.

Beliau turut menziarahi mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Haji Idris, Pendang, yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), dengan seramai 128 mangsa ditempatkan di situ sehingga petang tadi.

Sementara itu, Pengetua SMK Tunku Abdul Malik, Faridah Derani, berkata asrama sekolah berkenaan telah dikosongkan bagi menempatkan calon SPM yang terjejas banjir sepanjang tempoh peperiksaan.

“Sebanyak 74 calon SPM dijangka terjejas banjir, selain sekolah ini juga akan menerima 45 calon tumpang dari SMK Alor Merah,” katanya ketika ditemui pemberita.

Faridah menambah, sepanjang tempoh itu pelajar Tingkatan 1 hingga 4 di sekolah berkenaan akan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan proses pembelajaran tidak terjejas.

+ - reset