TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ismanira dipenjara 5 tahun abai Zayn Rayyan, dihantar ke Penjara Wanita Kajang hari ini

By
|
Kongsi
image

 

PETALING JAYA 31 Okt – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, selepas didapati bersalah mengabaikan anak lelakinya yang menghidap autisme sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Dr Syahliza Warnoh selepas prosiding mahkamah ditangguhkan seketika bagi memberi ruang kepada pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan mitigasi sebelum hukuman dijatuhkan.

Terdahulu, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi Ismanira, 30 tahun.

Pada 21 Julai lalu, mahkamah memerintahkan wanita itu membela diri, selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Kes berprofil tinggi itu mendapat perhatian seluruh negara apabila Zayn Rayyan, 6 tahun, ditemui meninggal dunia berhampiran kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai, pada 6 Disember 2023.

Pendakwaan terhadap Ismanira dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

+ - reset