TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MCMC peroleh perintah injunksi sekat saluran Telegram sebarkan kandungan mudarat

By
|
Kongsi
image

CYBERJAYA 31 Okt. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghalang akaun Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas daripada terus menyiarkan kandungan berunsur mudarat.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, keputusan mahkamah itu merupakan langkah penting dalam usaha berterusan kerajaan memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, bertanggungjawab dan selari dengan kepentingan awam.

“Mahkamah turut memerintahkan penutupan sepenuhnya saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas serta mana-mana saluran lain yang mempunyai persamaan dari segi kandungan atau modus operandi,” menurut kenyataan itu.

Perintah berkenaan bertujuan mengekang penyebaran kandungan palsu, mengelirukan dan berbaur hasutan yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap institusi awam negara.

Menurut MCMC, mahkamah menegaskan bahawa kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi, dengan keseimbangan keadilan jelas berpihak kepada suruhanjaya tersebut.

“Mahkamah mengambil kira bahawa kemudaratan kepada pihak Telegram adalah minimum berbanding potensi kesan negatif terhadap institusi negara dan ketenteraman awam sekiranya kandungan sedemikian terus disiarkan,” jelas kenyataan itu.

Dalam masa sama, mahkamah turut mengingatkan penyedia platform luar negara seperti Telegram supaya lebih peka terhadap konteks sosial serta Perlembagaan Malaysia, selain perlu menghormati undang-undang tempatan.

MCMC menegaskan, keputusan tersebut mencerminkan komitmen pihaknya dalam memelihara keselamatan digital negara dan mengawal penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan keharmonian awam.

+ - reset