TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Whatsapp tidak dibalas, remaja ditemui lemas dipercayai jatuh kolam takungan di Melaka

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 31 Okt – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditemui lemas selepas dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam kolam takungan air sedalam lebih tiga meter di kawasan kebun kayu gaharu di Jalan Gaung Piring, Cheng, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari, mangsa, Gan Ping Hong, yang bekerja sebagai penjaga kebun sejak enam bulan lalu, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kolam oleh penyelianya yang keluar mencari selepas gagal menghubunginya sejak pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang melakukan kerja menyiram tanaman sebelum tergelincir dan jatuh ke dalam kolam.

“Saksi yang juga penyelia mangsa memaklumkan, mangsa masuk bekerja pada jam 8.30 pagi dan tiba di kebun sekitar jam 9.04 pagi berdasarkan mesej WhatsApp yang dihantar kepadanya.

“Pada jam 11.30 pagi, saksi cuba menghubungi mangsa tetapi panggilan tidak dijawab. Bimbang dengan keadaan itu, dia ke lokasi namun gagal menemui mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Christopher berkata, penyelia terbabit kemudian mengajak rakannya untuk membantu mencari sebelum mereka menemui tong air di tepi kolam dan mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam air.

“Mangsa kemudian dibawa ke tebing sebelum mereka menghubungi ambulans dan polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurut beliau, siasatan oleh pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa.

“Barangan peribadi mangsa termasuk dompet, kad pengenalan dan telefon bimbit turut dijumpai bersama mayat.

“Bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Melaka antara jam 4.45 petang hingga 7.15 malam semalam mengesahkan punca kematian adalah akibat lemas.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

+ - reset