TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Datuk Zayn Rayyan desak polis teruskan siasatan, dakwa pembunuh sebenar cucu masih bebas

By
|
Kongsi
image

 

PETALING JAYA 31 Okt - Datuk kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, mendakwa pembunuh sebenar cucunya masih belum dikenal pasti, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketelusan siasatan yang dijalankan polis sejak dua tahun lalu.

Zahari Mohd Reba, 57, berkata keluarganya menerima keputusan mahkamah terhadap menantunya, Ismanira Abdul Manaf, yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mengabaikan anaknya itu, namun menegaskan bahawa keadilan sebenar untuk Zayn Rayyan masih belum ditegakkan.

“Keputusan hari ini sudah kita ketahui dan keluarga kami akur. Cuma, kami ingin tahu status kes pembunuhan Zayn Rayyan.

“Selama dua tahun, keluarga kami dianiaya dan difitnah dalam media sosial tetapi kami sabar kerana ini sudah ketentuan Allah SWT.

“Namun, kami tetap berdoa semoga mereka yang memfitnah kami akan mendapat balasan tidak kira di dunia atau akhirat,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini.

Terdahulu, bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilihat keluar dari mahkamah dalam keadaan sugul ditemani ahli keluarga selepas isterinya, Ismanira, dihukum penjara lima tahun oleh mahkamah atas kesalahan pengabaian yang mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap anak mereka.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu ditemui meninggal dunia berhampiran anak sungai di Damansara Damai pada Disember 2023, sehari selepas dilaporkan hilang.

Dalam pada itu, Zahari turut merayu supaya adik kepada Zayn Rayyan yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diserahkan semula kepada keluarga mereka.

“Kami perlu menjaga emosinya, jadi kami minta JKM untuk menyerahkannya kepada kami. Dia cucu saya dan kami sanggup melakukan apa saja untuknya,” katanya.

+ - reset