TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan mula rundingan teknikal rasmi isu 40 peratus hasil Sabah hari ini - Anwar

By
|
Kongsi
image

 

PENAMPANG 17 Nov – Rundingan teknikal rasmi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah berhubung Pemberian Khas 40 peratus hasil negeri itu dijadual bermula hari ini di Kota Kinabalu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata mesyuarat berkenaan akan melibatkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong bagi menyelesaikan perkara teknikal berkait Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang diputuskan Jemaah Menteri.

"Jemaah menteri bincang beberapa kali kita putuskan setuju hari Isnin, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan akan turun ke Kota Kinabalu. Kita akan bincang isu-isu teknikal 40 peratus dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah. Bila? Hari Isnin.

"We are serious. Ada pula peguam-peguam bising soal appeal sedangkan kita tak pernah rayu sebab 40 peratus. Saya nak tegaskan, selaku Perdana Menteri mewakili Jemaah Menteri dan kerajaan, kita tidak rayu kerana 40 peratus - itu hak Sabah. Apa lagi yang mahu dipolitikkan? Nak pilihan raya, silakan. Nak kempen, kempenlah. Tapi jangan pusing fakta macam dulu waktu kamu berkuasa, kamu pun tak selesai isu ini," katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Anwar Harapan Urang Muda Sabah di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di sini, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau turut menjelaskan tentang kekeliruan berhubung rayuan yang difailkan kerajaan, sambil menegaskan ia sama sekali tidak melibatkan hak 40 peratus Sabah, sebaliknya berkaitan alasan penghakiman yang boleh dianggap mengecilkan usaha pentadbiran terdahulu sejak 1974.

"Yang kita rayu bukan hak 40 peratus itu. Yang kita rayu hanyalah bahagian penghakiman yang menyatakan kerajaan-kerajaan sejak 1974 melanggar prinsip perlembagaan unconstitutional. Saya tak mahu jadi Perdana Menteri yang menghina Perdana Menteri dahulu, sebab itu saya minta Peguam Negara rayu untuk betulkan bahagian itu sahaja."

Anwar turut menegaskan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan isu fiskal Sabah secara teratur dan berhemah, tanpa menjadikan perkara tersebut sebagai modal politik.

"Kita sudah jelaskan soal 40 peratus itu hak Sabah dan kita tidak rayu. Kita hanya betulkan perkara teknikal dalam penghakiman. Tak perlulah kita hina pemimpin lama yang juga punya jasa besar. Fokus kita ialah selesaikan hak Sabah secara tertib dan adil," katanya.

+ - reset