TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KJ, Siti Nurhaliza juga boleh menang Datuk Bandar jika ada pilihan raya PBT – Lip Eng

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 Nov - Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menyifatkan sistem pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur sebagai tidak telus dan bercanggah dengan prinsip akauntabiliti serta tadbir urus baik yang ditekankan kerajaan.

Katanya, Ahli Parlimen Kuala Lumpur sendiri hanya mengetahui pelantikan Datuk Bandar melalui laporan media, sama seperti rakyat biasa.

Beliau menarik perhatian bahawa dalam tempoh 10 tahun lalu, enam individu telah memegang jawatan Datuk Bandar, dengan dua daripadanya berkhidmat kurang setahun setengah.

“Saya pernah diberitahu oleh seorang bekas Datuk Bandar bahawa beliau hanya benar-benar menyesuaikan diri selepas setahun memegang jawatan, namun terpaksa bersara pada tahun kedua.

“Jika kita bandingkan Kuala Lumpur 10 tahun dahulu dan sekarang dari segi kebersihan, kesesakan lalu lintas, infrastruktur, ekonomi dan kualiti hidup, adakah kita lebih baik? Jawapannya tidak.

“Ini berpunca daripada pertukaran Datuk Bandar yang terlalu kerap. Kuala Lumpur tukar Datuk Bandar seperti tukar baju!” katanya menerusi Facebook semalam.

Lip Eng berkata, Kuala Lumpur sebagai ibu negara memerlukan hala tuju yang konsisten dan lestari, bukan berubah setiap dua tahun.

Beliau mencadangkan supaya Datuk Bandar dilantik melalui pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), yang memberi mandat lebih stabil selama lima tahun.

“Jika prestasi mereka baik dan diterima penduduk, mereka pasti dipilih semula,” ujarnya.

Mengulas bantahan terhadap pilihan raya PBT yang sering dikaitkan dengan sentimen perkauman, beliau menyifatkannya tidak berasas.

“Apakah yang mereka takutkan? Seperti dinyatakan YB Nik Nazmi, hampir separuh penduduk Kuala Lumpur adalah Bumiputera.

“Saya yakin personaliti seperti Khairy Jamaluddin atau Siti Nurhaliza pun mempunyai peluang besar untuk menang jika bertanding sebagai calon Datuk Bandar!” katanya.

Beliau menegaskan, sudah tiba masa Kuala Lumpur memiliki sistem kepimpinan yang lebih stabil dan demokratik.

Katanya, pemulihan pilihan raya PBT adalah langkah penting untuk menghentikan kitaran pelantikan Datuk Bandar yang terlalu kerap dan mengembalikan kuasa menentukan masa depan Kuala Lumpur kepada warga kota sendiri.

+ - reset