TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mahkamah benarkan keluarga Daim dapat perintah larangan bersuara sementara

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 Dis – Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu membenarkan permohonan keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk mendapatkan perintah larangan bersuara sementara, berhubung permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melucut hak beberapa harta milik keluarga bekas Menteri Kewangan itu.

Peguam Nizamuddin Abdul Hamid, yang mewakili keluarga berkenaan, berkata perintah larangan itu bertujuan menghalang pendedahan maklumat sensitif termasuk identiti pihak dinamakan serta butiran harta yang terlibat.

“Perintah ini bukan mengenai prosiding, tetapi melibatkan maklumat peribadi seperti nama individu, nombor akaun bank dan butiran lain yang bersifat sensitif yang tidak boleh didedahkan kerana boleh menjejaskan anak guam,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, M Esther Jacyntha tidak membantah permohonan itu sebelum Hakim Rosli Ahmad membenarkannya dan menetapkan 4 Februari 2026 untuk pihak ketiga yang berkepentingan hadir ke mahkamah.

Permohonan Lucut Hak Difailkan Pendakwa Raya

Melalui notis permohonan difailkan pada 28 November lalu, pihak pendakwaan memohon supaya harta berkenaan dilucut hak mengikut Seksyen 41 Akta SPRM, termasuk arahan untuk menyiarkannya dalam Warta bagi memanggil mana-mana individu yang berkepentingan.

Individu tersebut dikehendaki menunjukkan sebab mengapa harta itu tidak wajar dilucut hak sebelum mahkamah membuat keputusan di bawah Seksyen 41(3) akta sama.

Permohonan itu turut menyatakan Peguam Negara berpuas hati bahawa harta disita SPRM patut dilucut hak meskipun tiada pendakwaan jenayah di bawah Akta SPRM dibuat.

Harta terbabit dikaitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM, iaitu gagal mematuhi notis mengisytiharkan harta.

Peguam Dakwa Siasatan Hampir Tiga Tahun Tanpa Jawapan

Sementara itu, Nizamuddin menegaskan permohonan lucut hak itu tidak menyatakan kesalahan substantif yang didakwa dilakukan, sebaliknya hanya berkaitan pematuhan tatacara siasatan.

Beliau berkata siasatan terhadap keluarga Daim bermula sejak Februari 2023 namun sehingga kini tiada penjelasan terbuka diberikan oleh pihak berkuasa.

“Kegagalan dan salah guna kuasa secara berterusan ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai pematuhan terhadap prinsip kedaulatan undang-undang.

“SPRM perlu melaksanakan kuasa secara adil dan tidak menindas anak guam kami apabila isu melibatkan kerajaan timbul,” katanya.

Menurutnya lagi, keluarga Daim bimbang tindakan terhadap mereka mungkin bertujuan mengalih perhatian rakyat daripada isu berkaitan kepimpinan negara.

“Sebarang salah guna kuasa adalah satu pembaziran wang rakyat, masa penjawat awam, dan juga masa mahkamah,” katanya dalam kenyataan media.

+ - reset