Berita Berita
Malaysia menang besar di Paris, Award Akhir Sulu dibatalkan, penuntut diarah bayar RM959,000
KUALA LUMPUR 10 Dis – Malaysia mencatat kemenangan bermakna di gelanggang antarabangsa apabila Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya Award Akhir yang dikeluarkan penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari lalu, sekali gus mengarahkan penuntut Sulu membayar kos prosiding berjumlah €200,000 (kira-kira RM959,180) kepada negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata keputusan itu bukan sahaja satu kejayaan undang-undang, malah kemenangan dari segi kedaulatan, maruah negara dan hak rakyat Malaysia khususnya di Sabah.
Azalina turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan yang bekerjasama mempertahankan kedudukan Malaysia dalam kes berprofil tinggi berkenaan.
"Ia membuktikan iltizam #KerajaanMadani mempertahankan negara dengan berprinsip dan berpaksikan undang-undang," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Sekretariat Khas Sulu, keputusan Mahkamah Rayuan Paris dimaklumkan pada Selasa sebelum kerajaan menerima dokumen penghakiman rasmi pada awal pagi Rabu.
Mahkamah berpendapat Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan Award Akhir tersebut kerana tiada perjanjian timbang tara sah yang mengikat Malaysia.
Kenyataan itu menegaskan bahawa kemenangan tersebut dijangka menamatkan semua cubaan penuntut Sulu serta pembiaya litigasi mereka, Therium, untuk mendapatkan wang atau aset negara melalui tuntutan tidak berasas.
"Malaysia akan terus mempertahankan dirinya terhadap sebarang tindakan undang-undang selanjutnya yang difailkan penuntut Sulu."
Mahkamah Rayuan Paris sebelum ini turut menolak pengiktirafan dan pelaksanaan Partial Award pada 6 Jun 2023, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Agung Perancis pada 6 November 2024.
Kerajaan menegaskan komitmen berterusan untuk mempertahankan kedaulatan, imuniti dan kepentingan negara daripada tuntutan kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu – entiti yang tidak lagi wujud.
Prosiding timbang tara tersebut pada asalnya dimulakan di Sepanyol oleh lapan warga Filipina, namun pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dibatalkan Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid seawal tahun 2021, menjadikan keseluruhan prosiding dan Award Akhir bernilai AS$14.9 bilion itu tidak sah di sisi undang-undang.
Berita berkaitan
March 12, 2026, 8:51 pm
Menteri Agama arah JAWI siasat sepanduk guna terjemahan al-Quran sokong budaya songsang
March 12, 2026, 7:19 pm
Inspektor polis mengaku tidak bersalah terima dan minta rasuah RM5,300, tipu duit jaminan
March 12, 2026, 7:03 pm
Tiga maut termasuk bayi tujuh bulan dalam nahas dua kenderaan di Bukit Sentosa
March 12, 2026, 5:22 pm
Polis tahan remaja lelaki disyaki bunuh wanita dengan 14 tikaman di hotel
March 12, 2026, 3:53 pm
Dua 'pengasuh' taska kes kematian bayi tidak ikuti Kursus Asuhan PERMATA
March 12, 2026, 3:25 pm
'Banyak benda dah diatur' - Pulau Pinang teruskan rumah terbuka Aidilfitri secara sederhana
March 12, 2026, 2:47 pm
Trafik lebuh raya dijangka cecah 2.3 juta kenderaan sehari sempena Aidilfitri
March 12, 2026, 1:19 pm
TPM Ahmad Zahid hargai jasa Sathia menghiburkan rakyat Malaysia, hulur sumbangan ringan beban
March 12, 2026, 12:45 pm
Timbalan CEO SSM didakwa terima RM50,000 daripada anak Hamzah Zainudin tanpa balasan
March 12, 2026, 12:14 pm
