TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PGIRM tegas keadilan undang-undang mesti konsisten dalam kes Najib

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Dis – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah perlu dilihat sebagai penegasan prinsip kedaulatan undang-undang negara.

Presidennya, Azmi Mohd Tahir, berkata mahkamah memutuskan bahawa titah adendum yang dikaitkan dengan permohonan berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan serta tidak memenuhi kehendak Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, sekali gus mewajibkan Najib meneruskan hukuman di Penjara Kajang.

Menurut pertubuhan itu, keputusan tersebut memperkukuhkan prinsip bahawa undang-undang mesti dilaksanakan secara konsisten, telus dan berlandaskan prosedur perlembagaan yang betul, tanpa mengira kedudukan, nama atau pengaruh politik seseorang.

“Prinsip inilah yang menjadi asas keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara,” menurut kenyataan itu, merujuk laporan media The Sun Malaysia berhubung keputusan mahkamah berkenaan.

Bagaimanapun, PGIRM berpandangan rakyat wajar diberikan penjelasan yang jelas mengenai kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong yang hanya dikaitkan dengan individu tertentu, sedangkan rakyat biasa yang melakukan kesalahan jenayah tidak menikmati keistimewaan serupa.

“Keadaan ini boleh menimbulkan persepsi keadilan dua darjat. Isu sebenar bukan mengenai individu semata-mata, tetapi soal konsistensi, ketelusan dan kesaksamaan dalam pelaksanaan undang-undang kepada semua rakyat,” katanya.

PGIRM menegaskan bahawa isu keadilan tidak seharusnya dipolitikkan atau dikaitkan dengan mana-mana individu atau parti, sebaliknya perlu dilihat dari sudut jaminan bahawa sistem perundangan negara berfungsi secara adil dan setara.

Menurut pertubuhan itu lagi, sebarang dasar luar biasa atau pengecualian dalam pelaksanaan hukuman mesti mempunyai kerangka yang jelas, telus dan boleh terpakai kepada semua pihak.

“Langkah ini penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman serta sistem undang-undang negara terus terpelihara,” katanya.

+ - reset