Berita Berita
PRK tiga DUN Perlis tidak perlu diadakan - Penganalisis undang-undang
KUALA LUMPUR 25 Dis - Pilihan raya kecil (PRK) bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis yang melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang dipecat keahlian parti tidak perlu diadakan kerana tempoh hayat DUN Perlis telah melebihi tiga tahun.
Penganalisis undang-undang, Dr Mohamed Hadi Abd Hamid berkata, DUN Perlis pertama kali bersidang pada 19 Disember 2022 dan mempunyai tempoh hayat selama lima tahun sebelum terbubar secara automatik pada 19 Disember 2027.
Menurutnya, kekosongan luar jangka hanya perlu diisi melalui PRK sekiranya baki tempoh hayat DUN melebihi dua tahun.
“Namun memandangkan kenyataan pemecatan tiga ADUN Pas itu dibuat pada 24 Disember 2025, baki tempoh hayat DUN Perlis hanya tinggal setahun 11 bulan dan 25 hari, iaitu kurang daripada dua tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sehubungan itu, katanya, PRK bagi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji tidak perlu diadakan kerana Dewan Negeri Perlis sudah melepasi tempoh tiga tahun selepas bersidang buat kali pertama susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, Mohamed Hadi berkata, Perkara 55(5) Perlembagaan memperuntukkan satu pengecualian dan Pas berkemungkinan cuba menggunakannya melalui Yang Dipertua Dewan Negeri Perlis bagi membolehkan PRK diadakan.
Menurut beliau, Speaker Perlis boleh memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya PRK dilaksanakan sekiranya kekosongan itu menjejaskan kekuatan majoriti parti yang membentuk kerajaan negeri.
Namun, katanya, keadaan tersebut biasanya terpakai dalam situasi majoriti tipis, sedangkan di Perlis, kedudukan kerajaan negeri tidak terjejas walaupun tiga ADUN Pas digugurkan, memandangkan Pas masih mempunyai enam ADUN lain yang disokong lima ADUN Bersatu.
“Melainkan Pas enggan bekerjasama dengan Bersatu membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN). Tanpa alasan kukuh, di manakah kewajaran untuk mengadakan PRK sedangkan Dewan Negeri Perlis sudah melepasi tempoh tiga tahun?” katanya.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan legitimasi Pas untuk memecat keahlian tiga wakil rakyat berkenaan memandangkan mereka bertanding menggunakan lambang PN, bukan Pas.
Menurutnya, berdasarkan tafsiran ketat, walaupun ketiga-tiga ADUN itu tidak lagi mewakili Pas, mereka masih wakil rakyat PN dan hanya Pengerusi PN mempunyai kuasa untuk menamatkan kedudukan mereka.
“Pilihan yang ada ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melantik Menteri Besar baharu yang diyakini berkemungkinan memperoleh kepercayaan majoriti ahli Dewan Negeri.
“PN boleh meneruskan pentadbiran negeri seperti biasa sehingga PRU16,” katanya.
Berita berkaitan
December 30, 2025, 4:28 pm
Kompaun hingga RM2,000 mulai 1 Januari jika buang sampah, meludah di tempat awam
December 30, 2025, 4:22 pm
Pengerusi PN Negeri Sembilan letak jawatan
December 30, 2025, 4:13 pm
Ismail Ayob calon BN bagi PRK Dun Lamag
December 30, 2025, 4:11 pm
SIRAT Global Forum 2026 bakal himpun komuniti perniagaan India Muslim pada 23 hingga 25 Januari 2026
December 30, 2025, 3:17 pm
PAS tidak sertai EXCO baharu Perlis tanda solidariti, sedia lepaskan jawatan masing-masing
December 30, 2025, 2:44 pm
Polis bongkar 16 kes pecah masuk pejabat kerajaan di Johor didalangi pemandu lori ais
December 30, 2025, 2:27 pm
Mujahid tarik balik saman terhadap Takiyuddin, tamatkan pertikaian
December 30, 2025, 2:21 pm
PN kekal di Perlis walaupun kepimpinan pusat letak jawatan
December 30, 2025, 2:17 pm
Sarah Nabihah hilang sejak Jumaat, polis minta bantuan orang ramai
December 30, 2025, 1:23 pm
