TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemakaian dan perhiasan berkaitan Krismas tidak dibenarkan bagi umat Islam – Mufti Wilayah

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 25 Dis - Pemakaian seperti topi Santa Claus serta penggunaan perhiasan dan pakaian berkaitan sambutan Hari Krismas, termasuk meletakkan pokok Krismas, adalah tidak dibenarkan bagi umat Islam.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi satu penerangan memaklumkan, pemakaian atau penggunaan perhiasan berkenaan tidak mempunyai keperluan kerana ia boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan terhadap perayaan tersebut.

Menurut kenyataan itu, larangan berkenaan lebih wajar dipatuhi sekiranya ia melibatkan rumah, pejabat atau tempat yang majoritinya terdiri daripada orang Islam.

“Sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk menghormati dan mematuhi garis panduan serta hukum yang telah ditetapkan. Jadikan hari cuti perayaan sempena Krismas sebagai ruang untuk mengeratkan perpaduan, menghormati perbezaan budaya dan menjadikan kepelbagaian ini sebagai kekuatan unik rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Penerangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang dimuat naik di laman web rasminya pada 21 Disember 2020 itu dikongsikan semula oleh pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun di Instagram sebagai panduan kepada umat Islam.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa hukum menyambut Krismas bagi umat Islam adalah haram kerana ia merupakan perayaan yang meraikan kelahiran Jesus Christ dan tidak dibenarkan untuk turut serta dalam sambutan perayaan agama lain.

Bagaimanapun, umat Islam dibenarkan mengucapkan “Selamat Menyambut Krismas” atau ucapan selamat sempena perayaan orang bukan Islam kepada individu beragama Kristian sekiranya perlu, sebagai tanda menjaga hubungan baik sesama manusia.

Ia tertakluk kepada syarat tidak terdapat sebarang unsur reda terhadap agama lain, tidak memuji atau memuliakan serta tidak menggunakan simbol atau lambang keagamaan dalam ucapan tersebut.

Selain itu, orang Islam juga dibenarkan menghadiri majlis orang bukan Islam yang diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang ramai, padang, pejabat atau kediaman, khususnya bagi tujuan adat seperti jamuan makan dengan syarat makanan yang disediakan adalah halal.

Namun, sekiranya majlis perayaan diadakan di rumah ibadat pada hari perayaan, kehadiran orang Islam adalah makruh, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

+ - reset