Berita Berita
JPJ Selangor tingkat penguatkuasaan, 2,712 saman kenderaan berat dikeluarkan langgar larangan waktu puncak
SHAH ALAM 15 Jan - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menegaskan penguatkuasaan larangan pergerakan kenderaan berat pada waktu puncak akan terus dilaksanakan secara tegas bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, larangan pergerakan itu berkuat kuasa dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi serta dari jam 4.30 petang hingga 7.30 malam setiap hari, melibatkan kenderaan berat tertentu.
Menurutnya, sepanjang tahun 2025, JPJ Selangor telah mengeluarkan sebanyak 2,712 notis atas kesalahan tidak mematuhi larangan pergerakan berkenaan.
“Tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan melanggar larangan pergerakan ini dilaksanakan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) oleh Pegawai Pengangkutan Jalan, Pegawai Polis mahupun Warden Trafik,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang didapati engkar boleh dikenakan kompaun sehingga RM300 atau didakwa di mahkamah dengan denda antara RM300 hingga RM2,000.
Azrin menegaskan pematuhan terhadap undang-undang adalah keutamaan dan sebarang pelanggaran akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi.
Sehubungan itu, semua pengusaha dan pemandu kenderaan barangan diseru supaya sentiasa peka terhadap papan tanda larangan, merancang perjalanan dengan lebih berhemah serta mengutamakan keselamatan semua pengguna jalan raya.
Dalam pada itu, orang ramai turut digalakkan menyalurkan aduan berkaitan kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan secara terus atau masa nyata melalui aplikasi MyJPJ, e-Aduan@JPJ atau e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my dengan menyertakan butiran lengkap bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Mengulas statistik terkini, beliau memaklumkan sebanyak 108 kesalahan dikenal pasti hari ini, termasuk kesalahan tiada lesen memandu dan tiada lesen vokasional.
“Bagi kesalahan tidak mematuhi larangan waktu pergerakan, hari ini sahaja sebanyak 57 kenderaan berat telah dikenakan kompaun,” katanya.
Menurutnya, kenderaan berat yang terlibat merangkumi lori dua gandar, enam roda serta kenderaan tiga gandar atau lebih, kecuali bas.
Azrin berkata, pengawasan dilakukan secara berkala di lokasi-lokasi dikenal pasti, dengan anggota JPJ ditempatkan di sesuatu kawasan dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap larangan yang ditetapkan.
Berita berkaitan
March 12, 2026, 8:51 pm
Menteri Agama arah JAWI siasat sepanduk guna terjemahan al-Quran sokong budaya songsang
March 12, 2026, 7:19 pm
Inspektor polis mengaku tidak bersalah terima dan minta rasuah RM5,300, tipu duit jaminan
March 12, 2026, 7:03 pm
Tiga maut termasuk bayi tujuh bulan dalam nahas dua kenderaan di Bukit Sentosa
March 12, 2026, 5:22 pm
Polis tahan remaja lelaki disyaki bunuh wanita dengan 14 tikaman di hotel
March 12, 2026, 3:53 pm
Dua 'pengasuh' taska kes kematian bayi tidak ikuti Kursus Asuhan PERMATA
March 12, 2026, 3:25 pm
'Banyak benda dah diatur' - Pulau Pinang teruskan rumah terbuka Aidilfitri secara sederhana
March 12, 2026, 2:47 pm
Trafik lebuh raya dijangka cecah 2.3 juta kenderaan sehari sempena Aidilfitri
March 12, 2026, 1:19 pm
TPM Ahmad Zahid hargai jasa Sathia menghiburkan rakyat Malaysia, hulur sumbangan ringan beban
March 12, 2026, 12:45 pm
Timbalan CEO SSM didakwa terima RM50,000 daripada anak Hamzah Zainudin tanpa balasan
March 12, 2026, 12:14 pm
