TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bekalan ayam, telur dijangka stabil menjelang Ramadan bulan depan - Mat Sabu

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 26 Jan – Bekalan ayam dan telur di pasaran tempatan dijangka kekal mencukupi serta tidak berdepan sebarang gangguan, khususnya menjelang Ramadan bulan depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jangkaan itu berdasarkan data kementerian yang menunjukkan keadaan semasa bekalan kedua-dua barangan tersebut berada pada tahap stabil.

"Bagaimanapun, kadangkala ada beberapa faktor seperti penyeludupan yang berisiko menjejaskan bekalan di pasaran, sebab itu kita mahu semua pihak yang terlibat dan kementerian berkaitan untuk mengawal perkara ini (penyeludupan) supaya tidak berlaku.

"Selain itu, dalam soal import bekalan ayam, kementerian juga akan sentiasa memastikannya seimbang dengan pengeluaran tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini, bagi menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) berhubung perancangan memastikan kestabilan bekalan ayam di pasaran serta usaha mengurangkan import bagi melindungi pendapatan penternak kecil dan sederhana.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong) mengenai langkah membantu penternak kecil yang berdepan tekanan kos makanan ternakan, Mohamad memaklumkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bersama Jabatan Pertanian telah membangunkan bahan mentah alternatif.

Beliau berkata, bahan alternatif itu termasuk penggunaan isi rong sawit, larva Black Soldier Fly serta jagung bijirin tempatan sebagai sumber makanan ternakan.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 15 syarikat terlibat dalam inisiatif tanaman jagung bijirin tempatan, dengan kerajaan menyediakan sokongan awal dari segi kewangan dan logistik.

Menjawab soalan asal Datuk Dr Richard mengenai strategi kementerian membantu penternak kecil beralih kepada sistem reban tertutup, Mohamad berkata transformasi tersebut mengambil kira tahap kesiapsiagaan penternak terutama dari aspek infrastruktur dan logistik.

"Sehingga Disember 2025, sebanyak 19 pembiayaan bagi subsektor ternakan telah diluluskan dengan nilai RM62.7 juta, namun tiada subsidi disediakan bagi transformasi kepada reban tertutup," katanya.

+ - reset