TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Guna dron jejak PATI menyorok atas bumbung, Imigresen tahan 218 warga asing dalam serbuan di Cheras

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 Jan - Jabatan Imigresen memperhebatkan penguatkuasaan dengan menggempur kawasan perniagaan dan rumah kedai di Taman Emas, Cheras, di sini, menerusi Ops Sapu Bersepadu yang membawa kepada penahanan 218 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.

Operasi yang dijalankan dari jam 6 petang hingga 9 malam itu menyaksikan seramai 1,087 individu diperiksa di beberapa blok rumah kedai yang dijadikan penginapan warga asing serta kawasan perniagaan sekitar Jalan Emas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli, berkata operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan selama kira-kira dua minggu selain maklumat dan aduan awam.

“Dalam operasi itu, seramai 218 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, terdiri daripada 166 lelaki dan 52 perempuan termasuk dua kanak-kanak, berusia antara dua hingga 53 tahun.

“Warga asing yang ditahan ialah 44 warga Indonesia, Bangladesh (56), India (lima), Myanmar (78), Nepal (10), Sri Lanka (empat), Nigeria (12) serta tujuh dari lain-lain negara,” katanya dalam sidang media di lokasi, malam tadi.

Lokman berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah gagal memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas lawatan kerja.

Mengulas perjalanan operasi, beliau berkata pihaknya turut berdepan cubaan melarikan diri oleh warga asing selain ada yang cuba bersembunyi di atas bumbung bangunan bagi mengelak ditahan.

“Bagaimanapun, penggunaan teknologi dron membantu mengesan individu yang cuba meloloskan diri ketika operasi berlangsung.

“Pada operasi kali ini kita berjaya mengesan kira-kira 15 warga asing yang bersembunyi di atas bumbung dengan menggunakan dron,” katanya.

Selain itu, Lokman menggesa majikan agar tidak menggaji warga asing yang tidak dibenarkan berada di negara ini atau tidak memiliki pas pekerjaan yang sah.

“Kita menggesa orang ramai dan juga majikan sekiranya mempunyai maklumat berkenaan warga asing ini, salurkan kepada Jabatan Imigresen.

“Kita juga menggesa majikan supaya tidak mengambil pekerja asing yang tidak dibenarkan berada dalam negara kita ataupun tidak mempunyai kelulusan pas pekerjaan sah untuk bekerja,” katanya.

Menurut beliau, semua warga asing yang ditahan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

“Operasi hari ini membabitkan seramai 279 pegawai dan anggota Imigresen serta disertai 10 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Lokman berkata sehingga semalam, Jabatan Imigresen telah melaksanakan 1,069 operasi penguatkuasaan dengan 17,793 individu diperiksa.

“Daripada jumlah itu, seramai 3,691 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap dan 110 majikan turut ditahan.

“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Program Repatriasi Migran 2.0 akan tamat pada April ini dan menasihatkan semua PATI supaya mengambil peluang berkenaan bagi mengelakkan tindakan lebih tegas selepas tempoh tersebut berakhir.

+ - reset