TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ketua Staf Markas Angkatan Bersama mengaku tidak bersalah pecah amanah RM5 juta dana TKAT

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Jan – Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan pecah amanah Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) membabitkan wang berjumlah RM5 juta, tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 56 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Saya faham pertuduhan dan mengaku tidak bersalah serta memohon dibicarakan,” katanya ketika hadir ke mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Fauzi didakwa ketika memegang jawatan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT telah diamanahkan penguasaan wang RM5 juta milik tabung berkenaan yang disimpan dalam akaun sebuah bank.

Beliau didakwa menyalahgunakan wang itu dengan membuat pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT, sekali gus melakukan kesalahan pecah amanah jenayah.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, di sini pada 27 November 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Nurul Izzati Sapifee, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

+ - reset