TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Perkhidmatan awam tidak berkompromi tangani salah laku penjawat awam

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Jan – Perkhidmatan awam menegaskan tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat kerajaan yang didapati bersalah, selaras dengan lunas perundangan yang ditetapkan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perkhidmatan awam akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi menjamin prinsip keadilan kepada semua pihak yang terlibat dalam siasatan.

“Prinsip menolak salah guna kuasa, rasuah dan kecurangan tatakelola mesti dijunjung pada setiap masa selaras dengan ikrar Rukun Negara dan ikrar Perkhidmatan Awam.

“Ia juga penting bagi memastikan imej serta kredibiliti perkhidmatan awam tidak tercemar dengan perilaku yang boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi teras negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas isu berkaitan penahanan dan siasatan kes penyalahgunaan kuasa serta rasuah yang membabitkan penjawat awam, termasuk di peringkat pengurusan tertinggi.

Shamsul Azri berkata, nilai integriti akan terus menjadi teras dalam penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan, selain berperanan mengurangkan ketirisan hasil negara serta mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Tambah beliau, komitmen itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia MADANI seperti yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

+ - reset