Berita Berita
'Jangan cari masalah, kerajaan tak halang ternak babi tapi pilihlah tempat yang jauh' - Anwar
PUTRAJAYA 9 Feb - Kerajaan menegaskan pendirian tidak melarang aktiviti penternakan babi, namun menekankan bahawa pelaksanaannya perlu mengambil kira lokasi yang sesuai bagi mengelakkan kegelisahan dan ketidakselesaan penduduk setempat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar kerajaan jelas dengan tidak menentang penternakan babi atau amalan pemakanan orang bukan Islam, tetapi aspek penempatan ladang perlu diteliti dari sudut sensitiviti masyarakat.
"Begitu juga mengenai ternakan babi. Saya setuju dengan pandangan tidak harus diteruskan di kawasan yang menimbulkan kegelisahan penduduk tempatan.
"Kalau mahu, cari pilihan tempat yang jauh, boleh teruskan. Kita dari segi dasar tidak menentang ternakan babi atau tidak melarang orang bukan Islam makan babi," katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di sini, hari ini.
Perdana Menteri menegaskan isu penternakan babi tidak wajar dijadikan sentimen perkauman atau agama, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan faktor kesihatan awam, alam sekitar dan keselesaan penduduk.
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah menghalang hak orang bukan Islam untuk memakan babi, namun tidak bersetuju jika penternakan itu ditempatkan di kawasan kediaman yang dihuni masyarakat yang tidak mengamalkannya.
"Ternakan babi bukan soal Cina atau Melayu. Kalau orang bukan Islam mahu makan, itu hak mereka dan tidak wajar dihalang.
"Tetapi kalau di kawasan penduduk yang majoritinya tidak makan babi, termasuk orang Islam, itu tidak kita galakkan," katanya.
Menurut Anwar, bantahan terhadap pembinaan ladang babi di kawasan perumahan bukan berpunca daripada sentimen perkauman, sebaliknya berasaskan isu sebenar yang dihadapi penduduk.
"Jadi cari tempat yang ada konsensus. Kalau di Kuala Lumpur tak ada, tak adalah. Kalau di Selangor susah, sukarlah. Janganlah cari masalah," katanya.
Beliau turut menjelaskan walaupun terdapat teknologi moden di negara maju yang mampu mengurangkan impak kebersihan, ia tidak bermakna penternakan sedemikian sesuai ditempatkan di kawasan berpenduduk.
"Apa jawapannya, apakah harus diteruskan di kawasan yang mungkin menimbulkan kontroversi? Jawapan saya, jangan. Cari tempat yang tidak menimbulkan kontroversi, yang ada konsensus.
"Saya (pun) tidak setuju kalau di sekitar rumah saya dekat Sungai Long ada ternakan babi. Bukan sebab saya anti orang Cina makan babi, sebab saya tak tahan baunya," katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga tidak mahu memaksa komuniti yang menolak penternakan terbabit untuk menerimanya, khususnya jika berpotensi menjejaskan persekitaran dan kesihatan.
Beliau turut mengingatkan supaya sebarang cadangan dibincangkan secara berunding dan berhemah, bukannya ditolak atau disokong secara melulu sehingga mencetuskan ketegangan kaum.
"Kita kena dengar dulu, bincang dari segi kesihatan, alam sekitar dan kesan bau. Kalau ditolak tanpa dengar, nanti dikata kita anti-Cina atau antibabi. Itu tidak benar," katanya.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan pendekatan kerajaan adalah berasaskan rundingan dan saling menghormati hak semua pihak, bagi memastikan keharmonian serta perpaduan masyarakat terus terpelihara.
Berita berkaitan
March 5, 2026, 4:45 pm
Berebut kawasan sekuriti tapak perumahan punca pegaduhan dalam Balai Polis Meru
March 5, 2026, 1:45 pm
Lelaki warga asing ditahan polis bantuan KTMB, disyaki cuba curi kabel landasan di Klang
March 5, 2026, 1:12 pm
Suspek gaduh di Balai Polis Meru milik rekod jenayah cubaan bunuh, dikehendaki bawah Poca
March 5, 2026, 1:02 pm
Isu penyatuan parti Melayu: Wan Saiful dakwa Muhyiddin Yassin jadi penghalang permuafakatan
March 5, 2026, 12:31 pm
Nahas Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak: Seorang warga Iraq maut, tiga warga Yemen cedera ringan
March 5, 2026, 12:20 pm
