Berita Berita
Rosmah 'MC' jatuh di rumah, rayuan singkir hakim ditangguh
PUTRAJAYA 25 Feb - Rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan hakim Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya dalam kes rasuah projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak ditangguhkan selepas beliau dilaporkan bercuti sakit akibat terjatuh di rumah.
Peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh, memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia yang dipengerusikan Datuk Nordin Hassan bahawa anak guamnya mengalami kecederaan pada tangan dan kedua-dua lutut ketika cuba menahan diri daripada terjatuh.
“Berikutan itu, beliau mengalami kecederaan pada tangan dan kedua-dua lututnya.
“Beliau enggan dimasukkan ke wad walaupun telah dinasihatkan untuk berbuat demikian dan hanya ingin berehat di rumah,” katanya ketika prosiding hari ini.
Panel yang turut dianggotai Datuk Che Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar kemudian menetapkan 3 Mac ini sebagai tarikh baharu pendengaran rayuan berkenaan. Sijil cuti sakit Rosmah dilaporkan bermula 24 hingga 28 Februari.
Dalam prosiding sama, panel turut menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan Nordin dan Che Ruzima daripada mendengar rayuan itu atas alasan kedua-dua hakim pernah mendengar rayuan berkaitan penyingkiran Timbalan Pendakwa Raya, mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam kes sama.
Bagaimanapun, berlaku sedikit ketegangan apabila panel mempersoalkan sama ada benar-benar wujud risiko berat sebelah sekiranya mereka terus mendengar rayuan tersebut.
Nordin: Anda peguam senior dan kita sudah lama saling mengenali. Adakah benar-benar wujud bahaya berat sebelah?
Jagjit: Maafkan saya, Yang Arif tetapi ini arahan daripada anak guam saya.
Nordin: Adakah anda menyatakan anak guam tidak selesa dengan kehadiran kami berdua dalam panel ini? Anda mesti menasihati anak guam, ini mahkamah undang-undang. Semua orang bertindak berdasarkan undang-undang.
Jagjit: Sekali lagi saya memohon maaf atas permohonan ini.
Panel kemudian memutuskan tiada risiko berat sebelah yang memerlukan mereka menarik diri daripada mendengar rayuan berkenaan.
“Kami telah mendengar kedua-dua permohonan untuk mengetepikan dua ahli panel dan kami dapati tiada sebarang risiko berat sebelah sehingga memerlukan kami menarik diri.
“Kami mempunyai tanggungjawab untuk mendengar kes ini,” kata Nordin.
Terdahulu, pada 17 September tahun lalu, Mahkamah Rayuan Malaysia menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar kes rasuah projek solar selepas mendapati permohonan itu tidak mempunyai merit.
Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini memutuskan Rosmah Mansor bersalah terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Sebelum keputusan itu dibuat, Rosmah memfailkan permohonan menyingkirkan hakim berkenaan dengan alasan meragui integriti beliau susulan insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan sebuah portal berita.
Berita berkaitan
February 26, 2026, 5:45 am
Waktu PdP Matematik sekolah rendah ditambah kepada 608 jam - Fadhlina
February 25, 2026, 9:28 pm
Yayasan Kubra roboh kuil di Rawang ikut undang-undang - Haniff Khatri
February 25, 2026, 3:26 pm
Mayat wanita ditemukan terapung dalam sungai berhampiran masjid di Alor Setar
February 25, 2026, 3:01 pm
Akibat pukul warga emas selepas kemalangan, lelaki terpaksa beraya dalam penjara
February 25, 2026, 2:45 pm
Pemindahan patung berhala Kuil Sri Uchimalai Muniswaran berjalan lancar - Polis
February 25, 2026, 2:13 pm
Lelaki kostum ikan duyung promosi air balang ditahan, terima upah RM200
February 25, 2026, 2:02 pm
Lelaki pecut lebih 10 kilometer elak ditahan, rempuh MPV polis di Sungai Petani
February 25, 2026, 1:53 pm
BN sahkan tiada pertemuan dengan Hamzah, kumpulan dipecat BERSATU
February 25, 2026, 1:43 pm
MCMC teliti langkah perundangan kekang aplikasi janji temu songsang
February 25, 2026, 1:31 pm
