Berita Berita
Langkah penjimatan kerajaan beri isyarat positif – Lee Lam Thye
KUALA LUMPUR 11 Mac – Langkah penjimatan oleh kerajaan termasuk tidak mengadakan rumah terbuka Aidilfitri dan mengurangkan lawatan ke luar negara dilihat memberi isyarat positif bahawa kerajaan mengutamakan perbelanjaan yang benar-benar penting ketika ketidaktentuan global ketika ini.
Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga akan memastikan sumber negara disalurkan kepada program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Ini adalah satu keputusan yang tepat pada masanya dan bertanggungjawab berikutan ketidaktentuan global ketika ini, terutama krisis berterusan di Asia Barat yang memberi kesan kepada kestabilan ekonomi, harga tenaga serta kos sara hidup secara keseluruhan.
“Ketika ramai rakyat Malaysia sedang berjimat cermat, adalah wajar bagi kerajaan turut menunjukkan sikap berhemah serta disiplin fiskal dalam pengurusan dana awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan memutuskan supaya semua agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) tidak menganjurkan sebarang majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada tahun ini.
Langkah itu diambil bagi memberi mesej supaya perbelanjaan dilakukan secara lebih cermat dan sederhana ketika ketegangan di Asia Barat masih berterusan.
Selain itu, Anwar turut memaklumkan lawatan ke luar negara oleh menteri, anggota pentadbiran kerajaan serta jabatan akan dihadkan buat masa ini.
Mengulas lanjut, Lam Thye berkata selaras dengan semangat perbelanjaan berhemah itu, beberapa langkah penjimatan tambahan juga boleh dipertimbangkan.
Antaranya termasuk menggunakan perkhidmatan penerbangan kelas perniagaan berbanding kelas pertama sekiranya lawatan rasmi ke luar negara perlu dilakukan.
Beliau berkata, delegasi rasmi juga wajar dihadkan kepada kumpulan kecil yang benar-benar diperlukan supaya lawatan lebih berfokus serta menjimatkan kos.
“Selain itu, mesyuarat secara maya dan penggunaan platform digital perlu diperluas bagi mengurangkan perbelanjaan perjalanan.
“Kementerian dan agensi kerajaan juga boleh menilai semula perbelanjaan lain yang tidak mendesak bagi memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan secara cekap dan bertanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, langkah tersebut mampu meningkatkan keyakinan rakyat bahawa kerajaan benar-benar komited terhadap disiplin kewangan dan sanggup memimpin melalui teladan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
“Pengurusan sumber negara secara berhemah hari ini akan membantu memastikan negara kekal berdaya tahan dan lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan,” katanya.
Berita berkaitan
March 12, 2026, 8:51 pm
Menteri Agama arah JAWI siasat sepanduk guna terjemahan al-Quran sokong budaya songsang
March 12, 2026, 7:19 pm
Inspektor polis mengaku tidak bersalah terima dan minta rasuah RM5,300, tipu duit jaminan
March 12, 2026, 7:03 pm
Tiga maut termasuk bayi tujuh bulan dalam nahas dua kenderaan di Bukit Sentosa
March 12, 2026, 5:22 pm
Polis tahan remaja lelaki disyaki bunuh wanita dengan 14 tikaman di hotel
March 12, 2026, 3:53 pm
Dua 'pengasuh' taska kes kematian bayi tidak ikuti Kursus Asuhan PERMATA
March 12, 2026, 3:25 pm
'Banyak benda dah diatur' - Pulau Pinang teruskan rumah terbuka Aidilfitri secara sederhana
March 12, 2026, 2:47 pm
Trafik lebuh raya dijangka cecah 2.3 juta kenderaan sehari sempena Aidilfitri
March 12, 2026, 1:19 pm
TPM Ahmad Zahid hargai jasa Sathia menghiburkan rakyat Malaysia, hulur sumbangan ringan beban
March 12, 2026, 12:45 pm
Timbalan CEO SSM didakwa terima RM50,000 daripada anak Hamzah Zainudin tanpa balasan
March 12, 2026, 12:14 pm
