TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemandu treler maut kemalangan tiga kenderaan di Lipis

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

LIPIS 13 Mac – Seorang lelaki maut selepas lori treler dipandunya hilang kawalan sebelum terbabit dalam kemalangan melibatkan dua lagi kenderaan di Kilometer 18, Jalan Lipis–Jerantut berhampiran Kampung Lentang di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian kira-kira pukul 2.28 petang itu membabitkan sebuah treler Foton, sebuah lori Isuzu dan sebuah kereta Honda Jazz.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu treler lelaki tempatan berusia 41 tahun dalam perjalanan dari Gua Musang menuju ke Mentakab bagi menghantar muatan batu kapur.

“Pemandu lori Isuzu pula merupakan lelaki tempatan berusia 52 tahun yang bergerak dari arah Kerambit, Kuala Lipis menuju ke rumahnya di Batu 9, Kuala Lipis.

“Manakala pemandu kereta Honda Jazz, seorang wanita tempatan berusia 27 tahun, sedang dalam perjalanan dari Jerantut menuju ke Machang, Kelantan selepas selesai bercuti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, ketika melalui satu selekoh tajam, pemandu treler dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaannya terbabas ke kanan jalan lalu terbalik.

Menurutnya, treler tersebut kemudian bertembung secara berhadapan dengan lori Isuzu yang datang dari arah bertentangan.

“Kereta Honda Jazz yang berada di belakang lori Isuzu cuba mengelak kemalangan itu namun gagal,” katanya.

Beliau berkata, pemandu treler, Shahfik Fanzi Rosli, 41, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, pemandu lori Isuzu mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan polis.

+ - reset