TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis buru dua lelaki curi Proton Wira di Shah Alam

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 27 Mac –Polis sedang giat mengesan dua lelaki yang dipercayai mencuri sebuah kereta jenis Proton Wira di kawasan tempat letak kenderaan pekerja di Seksyen 33, Shah Alam, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol, mengesahkan bahawa mangsa yang berusia lingkungan 20-an hanya menyedari kehilangan kenderaannya pada jam 1.14 pagi Selasa lalu selepas pulang dari kampung di Tumpat, Kelantan.

Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan dua suspek lelaki menggunakan kenderaan lain untuk melarikan kereta milik pengadu yang diletakkan di premis tanpa kawalan keselamatan tersebut sejak Sabtu, 21 Mac.

Kes kecurian kenderaan yang turut tular di media sosial Threads itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda bagi mereka yang sabit kesalahan.

Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam sedang mempergiatkan usaha menangkap suspek dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Rafiah Isa di talian 012-3770327.

Saksi atau individu yang mempunyai sebarang petunjuk berkaitan kes ini juga boleh menyalurkan maklumat terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202222 bagi membantu siasatan lanjut.

 

+ - reset