TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Remaja maut diserang buaya ketika mandi sungai di Kuching

By
|
Kongsi
image

KUCHING 27 Mac – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dilaporkan maut selepas menjadi mangsa serangan buaya ketika sedang mandi di sungai berhampiran sebuah rumah panjang di Kampung Segubang, Jalan Batu Kawa Lama, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengesahkan mayat mangsa ditemukan oleh ahli keluarganya pada jam 5.27 petang dalam keadaan tidak sempurna di seberang rumah panjang berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa sedang mandi bersama adik-beradiknya manakala ibu mereka berada berhampiran untuk membasuh pakaian sebelum mangsa menjerit kesakitan dan ditarik oleh reptilia tersebut.

Datuk mangsa yang berada di lokasi kejadian dilaporkan cuba mengejar buaya berkenaan menggunakan bot dalam usaha menyelamatkan cucunya, namun mangsa hilang daripada pandangan pada jarak kira-kira 200 meter dari lokasi asal.

Pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 2.41 petang telah menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang ke lokasi kejadian bagi memulakan operasi mencari dan menyelamat.

Pasukan penyelamat tiba di lokasi pada jam 2.55 petang dan menjalankan pencarian intensif sebelum mayat mangsa berjaya ditemukan dan dibawa ke tebing sungai untuk tindakan lanjut pihak polis.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.32 petang selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak berkuasa, manakala komuniti setempat diingatkan agar lebih berwaspada dengan ancaman haiwan pemangsa di kawasan sungai tersebut.

+ - reset