Berita Berita
Subsidi diesel keperluan mendesak untuk Sabah dan Sarawak, bukan pilih kasih
KUALA LUMPUR 8 April - Keputusan kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi diesel pada kadar RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak, dan Labuan bukan langkah “pilih kasih”, sebaliknya merupakan keperluan mendesak berdasarkan realiti sosioekonomi di wilayah berkenaan.
Menurur laporan Bernama, pemimpin negeri menekankan faktor geografi yang luas dan mencabar menjadikan diesel nadi utama pengangkutan rakyat, sama ada darat atau air, untuk menghubungkan kawasan pedalaman ke pusat bandar dan membawa barang keperluan harian.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, keadaan muka bumi dan infrastruktur jalan yang mencabar menjadikan kenderaan berenjin diesel, terutamanya pacuan empat roda, sebagai keperluan utama penduduk berbanding di Semenanjung.
“Kita mengucapkan terima kasih atas kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak kerana keadaan geografi dan keperluan perjalanan harian kita di sini jauh berbeza," katanya kepada Bernama.
Beliau turut mengingatkan penduduk menggunakan kemudahan subsidi secara berhemah dan bekerjasama bagi mengelakkan penyelewengan. Dalam usaha melindungi kelangsungan pemain industri makanan, pihaknya kini giat berunding dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan petani kecil tidak tercicir daripada manfaat subsidi.
Beliau turut mencadangkan penggunaan baja kompos yang lebih kos efektif bagi menangani kenaikan kos operasi akibat harga pasaran baja kimia yang tidak menentu.
Bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah, menegaskan pengekalan subsidi diesel di negeri itu bukan ketidakadilan kepada negeri lain. Beliau menekankan subsidi wajar mengambil kira realiti perbezaan kemudahan asas, kualiti jalan, dan kos logistik yang tinggi.
“Jarak Kuala Lumpur ke Perlis 500 km mengambil masa kira-kira enam jam, manakala Kota Kinabalu ke Tawau 450 km mengambil hampir 10 jam. Perjalanan panjang ini berlaku kerana keadaan jalan teruk, kenderaan terdedah kepada kerosakan dan tiada kawasan Rehat dan Rawat (R&R),” katanya.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib pula berharap kerajaan terus mengekalkan subsidi bagi mengelak lonjakan kos sara hidup.
“Sebarang kenaikan harga bahan api dikhuatiri mencetuskan kesan rantaian terhadap peningkatan kos pengangkutan yang akhirnya ditanggung pengguna. Kita di Sabah bukan semua orang kaya,” katanya, sambil menekankan harga barangan keperluan di Sabah sememangnya lebih tinggi berbanding di Semenanjung.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, menegaskan Sabah wajar mendapat kemudahan subsidi diesel sebagai salah satu negeri pengeluar utama minyak dan gas, dengan hasil negeri banyak menyumbang kepada pembangunan nasional.
"Sudah tiba masanya kerajaan Persekutuan mengkaji bagaimana keperluan domestik diutamakan untuk negeri pengeluar ini, dan pulangan daripada hasil tersebut harus dikembalikan demi manfaat rakyat," katanya.
Ewon turut menekankan walaupun terdapat tuntutan hak Sabah dan Sarawak yang belum dilaksanakan sepenuhnya, ia tidak menjejaskan semangat kerjasama dan perpaduan antara wilayah di Malaysia.
Berita berkaitan
April 9, 2026, 10:51 am
Kerajaan gagal beri penjelasan harga minyak, PGIRM tuntut mekanisme APM dinilai semula
April 9, 2026, 10:45 am
Guru sekolah swasta maut dilanggar treler di Lebuhraya SILK
April 9, 2026, 10:30 am
Prestasi penjawat awam Malaysia lebih baik berbanding negara jiran - PM
April 8, 2026, 10:39 pm
Harga diesel Semenanjung RM6.72 seliter
April 8, 2026, 7:13 pm
Kerajaan teliti guna MyKad, MyKasih untuk diesel bersasar
April 8, 2026, 4:29 pm
Polis digantung tugas antara enam suspek samun menyamar anggota di Sentul
April 8, 2026, 3:18 pm
