TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

432 mangsa dakwa rugi RM111.8 juta dalam skim forex haram, MHO gesa siasatan menyeluruh

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 8 April - Seramai 432 individu tampil membuat aduan berhubung satu program pelaburan mata wang asing (forex) yang disyaki tidak sah, dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM111.8 juta.

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap program pelaburan berkenaan yang dipercayai beroperasi tanpa lesen sah.

Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim, berkata mangsa mendakwa dipujuk menyertai skim itu melalui janji pulangan keuntungan tetap dan konsisten dalam tempoh tertentu.

Katanya, pelbagai bahan promosi termasuk gambaran prestasi pelaburan serta unjuran keuntungan digunakan bagi meyakinkan pelabur untuk menyertai program berkenaan.

"Bagaimanapun mangsa syak program berkenaan tidak melibatkan aktiviti perdagangan forex sebenar, sebaliknya hanya bertujuan mengumpul dana orang awam," katanya pada sidang media di BNM, di sini hari ini.

Hishamuddin berkata, mangsa juga meragui kesahihan platform pelaburan yang digunakan kerana dipercayai tidak telus dan dikawal sepenuhnya oleh pihak tertentu.

MHO turut memohon BNM menilai sama ada program tersebut melanggar Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 berkaitan pengambilan deposit tanpa lesen.

"Mangsa bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam membantu siasatan," katanya sambil menegaskan kehadiran mereka ke BNM bukan untuk menimbulkan polemik atau prejudis, sebaliknya bagi menyuarakan nasib ratusan mangsa yang terjejas.

"MHO berharap institusi keadilan negara dapat tampil memberikan perlindungan serta memastikan tiada pihak yang kebal daripada tindakan undang-undang," katanya.

+ - reset