TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Zakat MAINPP nafi dakwaan seleweng dana, tegas tiada lantikan ejen luar

By
|
Kongsi
image

GEORGE TOWN 24 April – Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial mengaitkan institusi itu dengan isu penyelewengan dana zakat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Kairi Ghazalli menegaskan bahawa mana-mana individu atau entiti yang dikaitkan dalam dakwaan tersebut bukanlah wakil, ejen, rakan strategik, mahupun pelantikan sah di bawah Zakat MAINPP.

Beliau menyifatkan cubaan untuk mengaitkan institusi berkenaan dengan pihak terbabit sebagai tidak berasas, mengelirukan, dan boleh menghakis kepercayaan masyarakat terhadap pengurusan zakat di negeri itu.

"Zakat MAINPP tidak melantik ejen atau orang tengah bagi urusan kutipan zakat. Hanya wakil kutipan rasmi yang diiktiraf sahaja dibenarkan beroperasi mengikut polisi yang telah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Kairi, setiap pelantikan wakil kutipan perlu melalui tapisan ketat di peringkat pengurusan sebelum dibawa ke Lembaga Pengarah dan seterusnya mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Pelantikan tersebut hanya sah bagi tempoh dua tahun dan tertakluk kepada pemantauan berterusan, termasuk audit dalaman berkala bagi memastikan ketelusan serta mengelakkan sebarang risiko ketirisan.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa pengurusan zakat di Pulau Pinang sentiasa mematuhi tadbir urus yang tinggi serta keperluan syariah. Orang ramai juga dinasihatkan agar hanya berurusan melalui saluran rasmi Zakat MAINPP dan sentiasa berwaspada terhadap pihak yang tidak bertauliah.

+ - reset