TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Bila JPJ tegas, rakyat tak suka, bila lembik, SPRM pula tekan' - Anwar

By
|
Kongsi
image

 

BATU KAWAN 25 April - Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) terus memperkukuh tahap profesionalisme dan ketegasan dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.

Beliau berkata, sebagai agensi yang berurusan secara langsung dengan masyarakat, setiap tindakan JPJ sentiasa menjadi perhatian umum dan menuntut integriti serta kecekapan tinggi.

"Kadang-kadang kalau JPJ tegas, tidak disenangi oleh rakyat…kalau lembik dan tolak ansur, ditekan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

"Jadi, pegawai JPJ dalam keadaan dipantau langsung, apalagi kita punyai media sosial hari ini. Ada yang menegur berdasarkan nilai dan akhlak, ada yang menegur secara nafsu serakah dan kebencian... jadi ujian yang kita hadapi itu lebih berat,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke-80 dan Karnival Mega JPJ MADANI di Pekarangan Stadium Negeri, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menggesa warga JPJ menerima teguran rakyat secara positif dan menjadikannya sebagai dorongan untuk menambah baik perkhidmatan secara berterusan.

Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan pendigitalan sistem penyampaian perkhidmatan bagi mengurangkan ruang kepada tohmahan serta meningkatkan ketelusan.

"Kalau negara mahu maju, kita tidak boleh kekal dengan kaedah lama. Transformasi digital ini penting untuk tingkatkan kecekapan dan keyakinan rakyat," katanya.

Perdana Menteri turut memuji prestasi semasa JPJ yang disifatkan semakin baik, namun mengingatkan usaha pembaharuan perlu diteruskan selari dengan peningkatan jangkaan rakyat.

Terdahulu, pada majlis itu, JPJ turut memperkenalkan versi baharu aplikasi MyJPJ sebagai platform bersepadu yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan jabatan dalam satu aplikasi pintar.

Selain itu, bagi memperkukuh advokasi keselamatan jalan raya, JPJ memperkenalkan Ikon Keselamatan Jalan Raya dengan pelantikan Siti Nurhaliza Tarudin sebagai ikon rasmi.

+ - reset