TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Harga emas berpotensi cecah RM700 segram hujung tahun

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 April - Harga emas dijangka terus mencatatkan peningkatan dan berpotensi mencecah paras RM700 segram menjelang hujung tahun ini susulan ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan.

Ahli ekonomi dan pemikir kewangan Islam, Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, faktor geopolitik serta kejutan harga minyak dijangka terus menjadi pemacu utama kenaikan logam berharga itu walaupun terdapat tekanan seperti penjualan rizab oleh sesetengah negara.

“Ketegangan geopolitik akan terus menjadi pemacu utama dan harga emas berpotensi melepasi RM700 segram dan mungkin lebih daripada purata harga RM600 ketika ini,” katanya kepada media selepas sesi dialog ‘Emas Dalam Persekitaran Global Yang Tidak Menentu’ anjuran Habib Jewels Sdn Bhd di sini, semalam.

Dialog itu dikendalikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Meer Habib.

Menurut Ahamed, trend jangka panjang harga emas kekal menaik sejak 2001, sekali gus menepis kebimbangan berlakunya gelembung harga dalam masa terdekat.

“Sejak 2001, harga emas terus meningkat yang mana pada tahun itu harga emas bernilai RM36 segram, walaupun sekarang nampak tinggi masih ada ruang untuk naik lagi,” katanya.

Beliau menjangkakan harga emas akan berada sekitar RM700 segram menjelang akhir tahun ini, meskipun sukar untuk menetapkan sasaran tepat berikutan turun naik pasaran akibat konflik geopolitik.

Sementara itu, Meer berkata, keyakinan pengguna terhadap pembelian emas kekal kukuh walaupun berlaku ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Katanya, penurunan harga dalam jangka pendek dilihat sebagai peluang kepada pengguna untuk kembali membeli, khususnya selepas harga sebelum ini berada pada paras tinggi.

“Keyakinan pelanggan meningkat dan penurunan harga sementara membuka ruang kepada lebih ramai untuk masuk semula ke pasaran,” katanya.

Beliau turut memaklumkan trend pembelian emas kini berubah apabila semakin ramai lelaki menjadikannya sebagai instrumen pelaburan, berbanding sebelum ini yang lebih didominasi wanita untuk tujuan perhiasan.

“Dulu pembelian jongkong emas sekitar lima hingga 10 peratus, kini meningkat kepada kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan jualan di premis,” katanya.

Menurutnya, peningkatan itu mencerminkan kesedaran lebih tinggi terhadap emas sebagai aset selamat dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

“Emas bukan saja perhiasan, tetapi juga pelaburan, sebab itu permintaan kekal kukuh walaupun harga tinggi,” katanya.

+ - reset