TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Jika isu babi masih dipertikai, kami akan turun lebih besar' — GPMS himpun solidariti sokong titah Sultan Selangor

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

SHAH ALAM 8 Mei – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) memberi amaran akan menggerakkan himpunan lebih besar sekiranya polemik melibatkan isu penternakan khinzir di Selangor terus dipertikaikan.

Menurut Setiausaha Agung GPMS, Wafiy Musa, himpunan itu menghimpunkan suara pelajar dari seluruh negeri bagi menegaskan bahawa keputusan Sultan dibuat demi kepentingan rakyat secara menyeluruh tanpa mengira kaum dan agama.

“Kita kena ingat, di hujung hari Sultan Selangor membuat keputusan atas kemaslahatan rakyat secara bersama, bukan untuk satu bangsa atau satu agama,” katanya dalam sidang media.

Beliau turut menyifatkan perhimpunan ini sebagai permulaan kepada himpunan lebih besar.

Malah, mereka memberi bayangan bahawa mobilisasi lebih agresif akan dilakukan sekiranya isu sama terus dipertikaikan.

“Kalau kali ini kita himpunkan manusia pun tidak cukup ramai, selepas ini kita akan turun lebih besar. Ini hanya permulaan.”

Beliau turut memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat sebelum ini, namun mendakwa isu berkenaan masih berlarutan sehingga memaksa mereka turun berhimpun secara terbuka.

Walaupun perhimpunan tersebut melibatkan 50 ke 80 peserta secara fizikal, GPMS mendakwa sokongan sebenar jauh lebih besar melibatkan rangkaian pelajar di seluruh negeri.

Mereka juga menyatakan solidariti turut berlaku secara kecil-kecilan di institusi lain termasuk universiti serta platform media sosial bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.

Dalam masa sama, beliau menggesa pihak tertentu agar tidak menyelewengkan fakta atau mengelirukan rakyat berhubung isu yang sedang hangat diperkatakan.

Perhimpunan itu menegaskan bahawa institusi diraja memainkan peranan penting dalam menjaga keharmonian rakyat di Malaysia, khususnya di Selangor.

+ - reset