TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Video tular dakwa tembak lembu korban: Polis akan panggil MB Perlis ambil keterangan

By
|
Kongsi
image

KANGAR 29 Mei – Pihak polis mengesahkan masih belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung penularan sebuah video yang memaparkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, didakwa menembak seekor lembu korban menggunakan senapang patah. Walau bagaimanapun, siasatan awal berhubung insiden berkenaan kini sedang giat dijalankan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop memaklumkan bahawa pihak polis telah pun mengambil maklum mengenai rakaman video yang mula tular di pelbagai platform media sosial sejak semalam.

"Insiden terbabit sudah berada dalam pengetahuan pihak polis. Setakat ini belum ada sebarang laporan polis diterima, namun siasatan awal sedang dilakukan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan kes, Yusharifuddin menjelaskan bahawa siasatan terperinci sedang difokuskan bagi mengenal pasti jenis peluru serta lesen senjata api yang digunakan dalam kejadian tersebut.

Pihak berkuasa juga mengesahkan akan memanggil Menteri Besar Perlis dalam masa terdekat ini bagi merakam keterangan beliau bagi membantu melengkapkan kertas siasatan.

"Sama ada peluru yang digunakan itu adalah peluru hidup atau bukan, kita masih dalam siasatan. Kita akan panggil Menteri Besar untuk mendapatkan keterangan berkaitan isu ini," jelasnya lagi.

Sebelum ini, masyarakat digemparkan dengan penularan satu rakaman video pendek yang mendakwa pemimpin negeri itu bertindak menembak seekor lembu menggunakan selaras senapang patah bagi tujuan ibadah korban bersempena dengan sambutan hari raya Aidiladha.

+ - reset