TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ayob Khan dedah beberapa pegawai kanan polis terbabit salah laku dalam dalam perhatian serius

By
|
Kongsi
image

 

KUCHING 6 Jun – Beberapa kes berkaitan integriti yang membabitkan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) dan ke atas kini sedang dipantau oleh Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, beliau menerima beberapa aduan daripada orang awam berhubung perkara tersebut dan menggesa agar maklumat berkaitan disalurkan kepada IPCC untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, kewujudan IPCC memberi mesej jelas bahawa pegawai dan anggota polis kini bukan sahaja tertakluk kepada pemantauan dalaman oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), malah turut dipantau oleh badan bebas di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Sekarang ada dua atau tiga kes membabitkan pegawai tinggi dan saya sendiri akan mengikuti perkembangan kes berkenaan yang dikendalikan IPCC.

"Saya akan membuat susulan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran buku Strengthening Integrity, Empowering The Nation: Integrity As The Foundation Of Leadership di sini hari ini.

Buku hasil tulisan Prof Datuk Dr Leonard Sabu itu dilancarkan bersama oleh Ayob Khan dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Turut hadir ialah bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak yang juga penasihat khas penerbitan buku berkenaan, Datuk Mohd Yusoff Jaafar.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, penubuhan IPCC membuktikan bahawa isu salah laku dalam pasukan polis, khususnya yang melibatkan rasuah dan pelanggaran integriti, tidak lagi hanya ditangani menerusi mekanisme dalaman.

"Jangan kita fikir apabila hanya ada JIPS sebagai badan dalaman, kita boleh selamat. Sekarang ada agensi lain di luar yang turut memantau dan memastikan tindakan diambil terhadap sebarang salah laku," katanya.

Beliau menegaskan bahawa aspek integriti perlu terus diperkasakan dan sebarang pelanggaran etika atau salah laku mesti ditangani secara tegas bagi memastikan keyakinan masyarakat terhadap PDRM kekal terpelihara.

+ - reset