TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Bapa sanggup maafkan teman wanita lepas belasah anak 18 bulan hingga mati

By
|
Kongsi
image

Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa berang dan kesal selepas seorang bapa tergamak memaafkan teman wanitanya yang dituduh membunuh anak kandungnya sehingga maut.

Memetik laporan South China Morning Post, mangsa yang berusia 18 bulan itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada organ dalaman, termasuk pecah hati, pankreas dan usus, selepas ditendang berkali-kali di bahagian perut.

Kekejaman itu terbongkar apabila ibu kandung mangsa, Xie, mengesyaki sesuatu yang tidak kena ketika bekas suaminya, Li, cuba membakar mayat kanak-kanak itu secara tergesa-gesa tanpa melalui proses bedah siasat. 

Xie segera bertindak menghubungi pihak polis selepas seorang doktor hospital mendedahkan bahawa perut mangsa berada dalam keadaan bengkak yang tidak normal sebelum meninggal dunia.

Hasil siasatan pihak berkuasa kemudiannya mendapati teman wanita Li, yang dikenali sebagai Guo, dipercayai menendang mangsa berkali-kali dalam tiga kejadian berasingan hanya kerana hilang sabar. 

Penderaan kejam itu dilaporkan berlaku tiga hari dan sehari sebelum mangsa menghembuskan nafas terakhir.

Meskipun menyedari penderitaan yang dilalui darah dagingnya, Li mempertahankan tindakannya menandatangani surat untuk memaafkan Guo. 

Li memberi alasan bahawa dia percaya wanita itu sama sekali tidak mempunyai niat untuk mencederakan anaknya. 

Sikap tidak berperikemanusiaan itu mencetuskan kemarahan luar biasa di media sosial, sehinggakan ada pengguna media sosial yang menyifatkan sifat acuh tak acuh si bapa sebenarnya jauh lebih zalim dan menyakitkan daripada suspek.

Bagaimanapun, tindakan Li itu dilaporkan tidak akan menyelamatkan kekasihnya daripada muka pengadilan. 

Peguam dari Tetuan Beijing Zhongwen, Liu Kai, menjelaskan bahawa di bawah Undang-Undang Jenayah China, tindakan zalim yang menyebabkan kematian boleh membawa kepada hukuman paling berat, termasuk hukuman mati.

Beliau turut menegaskan bahawa surat kemaafan yang ditandatangani oleh Li tidak mempunyai nilai atau impak yang besar dalam kes ini memandangkan ibu kandung mangsa menentang keras perkara tersebut dan menuntut keadilan sewajarnya buat mendiang anak mereka. 

+ - reset