Berita Dunia
Bekas Menteri Pendidikan Indonesia, pengasas Gojek dihukum penjara 10 tahun kes rasuah
JAKARTA 01 JULAI – Mahkamah Jenayah Rasuah Jakarta menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas bekas Menteri Pendidikan Indonesia, Nadiem Makarim, selepas didapati bersalah dalam skandal rasuah membabitkan perolehan komputer riba Google Chromebook untuk sekolah-sekolah bernilai trilion rupiah.
Nadiem, 41, yang juga pengasas bersama syarikat teknologi gergasi Gojek, turut dikenakan denda sebanyak 1 bilion rupiah (sekitar RM267,000) serta diarahkan membayar ganti rugi berjumlah 809.6 bilion rupiah (sekitar RM216 juta).
Beliau berdepan tambahan hukuman penjara selama lima tahun jika gagal melunaskan bayaran tersebut.
Hukuman itu sekali gus menandakan kejatuhan tokoh korporat muda lulusan Universiti Harvard yang pernah menjadi simbol generasi baharu kepimpinan Indonesia ketika menganggotai kabinet bekas Presiden Joko Widodo dari 2019 hingga 2024.
Dalam penghakimannya, panel lima hakim merumuskan bahawa Nadiem secara sedar telah menyalahgunakan kuasa dengan memanipulasi spesifikasi teknikal projek pendigitalan pendidikan bagi memastikan produk Google menjadi pilihan utama.
Mahkamah menyifatkan tindakan itu bermotifkan kepentingan peribadi untuk mengukuhkan hubungan perniagaan strategik antara Google dengan syarikat Gojek, memandangkan gergasi teknologi tersebut merupakan antara pelabur utama dalam syarikat induk Gojek.
Malah, perolehan Chromebook itu tetap diteruskan pada harga dua kali ganda lebih mahal iaitu 6 juta rupiah (sekitar RM1,600) berbanding harga asal 3 juta rupiah (sekitar RM800) seunit, walaupun kajian terdahulu mendapati peranti berkenaan tidak sesuai digunakan di kawasan pedalaman Indonesia yang mempunyai kekangan internet.
Bagaimanapun, Google menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan pelaburan mereka dibuat sebelum pelantikan Nadiem serta tidak pernah memberikan sebarang rasuah kepada pegawai kerajaan.
Nadiem sendiri konsisten menafikan semua pertuduhan dengan mendakwa kes berkenaan bermotifkan politik.
Pihak pembelaan berhujah bahawa projek perolehan 1.1 juta komputer riba sewaktu pandemik Covid-19 itu dilaksanakan dengan niat baik demi kelangsungan pendidikan dalam talian, selain menegaskan 97 peratus peranti telah berjaya dihantar ke sekolah-sekolah tanpa melibatkan sebarang aliran wang haram kepada Nadiem.
Walaupun keputusan mahkamah itu disambut dengan ejekan oleh para pemandu Gojek yang hadir memberikan sokongan moral di luar mahkamah, pihak keluarga menyatakan mereka akan terus berdiri teguh menyokong Nadiem.
Berita berkaitan
August 24, 2026, 8:33 pm
Spider-Man 'muay thai' individu anti orang islam
August 24, 2026, 4:50 pm
Selatan Thailand terus bergolak, lima lagi siri letupan bom gegarkan Narathiwat dan Pattani
August 21, 2026, 10:56 am
Rumah Putih dakwa Malaysia, Indonesia antara puluhan negara bantu China elak tarif AS
August 15, 2026, 11:05 am
Trump dakwa akan isytihar Selat Hormuz sebagai wilayah AS
August 13, 2026, 12:55 pm
Belayar dari Port Klang, kapal kontena Nawata Bhum rempuh tebing sungai di India
August 12, 2026, 8:12 pm
Rak jemuran jatuh dari langit hempas warga emas, penunggang motosikal
August 12, 2026, 4:14 pm
Pemandu muslim maut lepas diserang orang ramai di India
August 11, 2026, 9:45 am
'Orang gila' tiba-tiba mengamuk baling batu bata tepat ke kepala budak
August 11, 2026, 8:27 am
Tiga rakyat Malaysia ditahan di Taiwan kerana jadi keldai wang sindiket penipuan
August 7, 2026, 8:45 pm
