Berita Dunia
Sembilan sami Buddha maut lepas dirempuh kanak-kanak 11 tahun pandu trak pikap
MUKDAHAN 2 JULAI – Satu insiden ngeri menyayat hati melanda Thailand apabila sembilan orang sami Buddha maut dan sekurang-kurangnya 10 yang lain cedera parah selepas sebuah trak pikap dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun merempuh perarakan mereka.
Insiden berkenaan berlaku ketika sekumpulan 35 orang sami bersama lima pengikut awam sedang berjalan di bahu jalan di wilayah Mukdahan untuk memulakan perjalanan ziarah sejauh 260 kilometer menuju ke wilayah Ubon Ratchathani.
Bagaimanapun, baru sahaja kira-kira 30 minit perjalanan bermula, kenderaan yang dipandu laju oleh kanak-kanak itu hilang kawalan lalu merempuh kumpulan berkenaan secara tiba-tiba dari arah belakang.
Menurut salah seorang sami yang terselamat, Phra Sompong, beliau sedang khusyuk membaca mantera meditasi apabila menyedari sebuah trak pikap sedang menghampiri mereka dengan laju.
Beliau bersama seorang lagi sami sempat melompat untuk menyelamatkan diri, namun beberapa orang sami lain yang berada di barisan belakang tidak sempat mengelak lalu dirempuh sehingga tercampak ke udara.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berhampiran turut merakam detik cemas perarakan tersebut terhenti serta-merta sejurus kedengaran bunyi dentuman yang sangat kuat.
Pihak polis mengesahkan lima orang sami meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga lagi menghembuskan nafas terakhir di hospital.
Beberapa jam kemudian, Pejabat Wilayah Mukdahan mengumumkan kematian mangsa yang kesembilan.
Selain itu, pihak berkuasa kesihatan melaporkan empat lagi sami berada dalam keadaan kritikal dan 10 yang lain mengalami kecederaan parah.
Siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan telah mengambil trak pikap milik ibu bapanya tanpa kebenaran sebelum memandunya sehingga hilang kawalan.
Ketua Polis Bandar Mukdahan, Prayut Ruanthongkam, mengesahkan suspek kini berada dalam tahanan pihak polis dan proses soal siasat akan dijalankan dengan kehadiran pegawai perlindungan kanak-kanak negeri.
Bagaimanapun, di bawah undang-undang negara Thailand, kanak-kanak yang berusia di bawah 12 tahun tidak boleh dikenakan liabiliti jenayah.
Komander Polis Wilayah Mukdahan, Mejar Jeneral Pairoj Thaiphutsa, menyatakan bahawa kenderaan tersebut telah disita untuk pemeriksaan forensik bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Pihak polis juga telah memanggil ibu bapa kanak-kanak terbabit untuk menentukan status penjagaan dan tanggungjawab bagi membolehkan proses tindakan undang-undang selanjutnya diambil.
Sementara itu, Gabenor Mukdahan, Worayan Bunnarat, menyuarakan rasa dukacita dan menegaskan bahawa kes tragis itu seharusnya menjadi pengajaran besar buat masyarakat mengenai keselamatan jalan raya.
Beliau menyeru agar semua pihak, terutamanya ibu bapa, memainkan peranan lebih tegas dalam mengawasi anak-anak bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang, memandangkan Thailand direkodkan sebagai antara negara yang mempunyai kadar kemalangan jalan raya paling buruk di dunia akibat isu pemanduan laju dan penguatkuasaan undang-undang yang lemah.
Berita berkaitan
July 2, 2026, 12:24 pm
Bapa hantuk kepala lepas impian anak jadi doktor musnah
July 2, 2026, 10:36 am
Bumbung uzur pusat tuisyen runtuh, 15 termasuk 14 kanak-kanak maut
July 1, 2026, 12:15 pm
Bekas Menteri Pendidikan Indonesia, pengasas Gojek dihukum penjara 10 tahun kes rasuah
June 29, 2026, 7:24 pm
Bapa sanggup maafkan teman wanita lepas belasah anak 18 bulan hingga mati
June 29, 2026, 2:29 pm
Meskipun dijatuhi hukuman mati, Sheikh Hasina ikrar pulang ke Bangladesh tahun ini
June 29, 2026, 8:24 am
11 maut pesawat bawa peserta payung terjun terhempas di Perancis
June 26, 2026, 12:29 pm
Kapal kargo dihentam ‘objek misteri di Selat Hormuz
June 24, 2026, 1:10 pm
