TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pamer kekayaan melampau di media sosial, pengasas kosmetik dalam radar polis

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 9 Julai – Polis Kontinjen Kelantan kini sedang memantau rapat aktiviti segelintir pengasas produk kosmetik dan peniaga dalam talian yang gemar mempamerkan kekayaan luar biasa di media sosial bagi mengesan kemungkinan wujudnya unsur jenayah pengubahan wang haram.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mendedahkan, meskipun aktiviti perniagaan golongan terbabit setakat ini tidak dikesan melibatkan sebarang unsur penipuan, namun tindakan menayang gaya hidup mewah termasuk timbunan wang tunai ketika siaran langsung (live) telah menarik perhatian pihak berkuasa.

"Mereka kini berada dalam radar kami. Kita pantau dari segi pengubahan wang haram. Kalau ada kesalahan, kita akan ambil tindakan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, mana-mana individu yang disiasat kelak bakal diminta untuk mengemukakan dokumen sokongan yang lengkap termasuk resit rasmi dan rekod transaksi perniagaan bagi membuktikan sumber sahih aliran kewangan mereka.

Mengulas mengenai taktik tersebut, Mohd Yusoff berkata perbuatan mempamerkan kemewahan secara keterlaluan itu kebiasaannya merupakan strategi pemasaran semata-mata untuk memancing perhatian pengguna internet terhadap produk yang dipasarkan.

"Orang nampak kaya, nampak duit berkepuk-kepuk, jadi mereka (pembeli) fikir produk itu laris dan boleh membawa keuntungan besar,” jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menitipkan pesanan agar masyarakat sentiasa berwaspada dengan kelicikan sindiket penipuan atau scammer dan tidak mudah tergiur dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam jangka masa singkat.

Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memperkasakan pengetahuan mengenai modus operandi penipuan digital, mengelakkan diri daripada melayan panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali, serta hanya menggunakan platform e-dagang yang sah dan diyakini.

"Kalau ada pelaburan yang menjanjikan untung besar dalam masa singkat, itu perlu dicurigai. Pegang pepatah orang tua-tua, ‘Bukan senang nak jadi senang’, supaya kita tidak mudah ditipu. Kalau malas sangat membaca, tanyalah ChatGPT bagaimana hendak mengelakkan scammer,” seloroh beliau.

+ - reset