Berita Jenayah
Sindiket seludup bunga ganja RM13.3 juta ke Eropah tumpas, suami isteri antara lima ditahan
SHAH ALAM 9 Julai – Sepasang suami isteri antara lima individu yang berjaya ditahan pihak polis selepas dipercayai terlibat dalam rangkaian sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja bernilai RM13.34 juta dalam empat operasi berasingan, baru-baru ini.
Kesemua suspek yang berusia antara 25 hingga 40 tahun itu, termasuk dua warga asing, ditahan dalam siri serbuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta sebuah kondominium di Kota Warisan, Sepang antara 29 Jun hingga 4 Julai lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, menerusi operasi berkenaan, pihak polis berjaya merampas sebanyak 313 bungkusan berisi bunga ganja dengan berat keseluruhan mencecah 166.2 kilogram (kg).
Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek bergerak di bawah sindiket berasingan, namun berkongsi modus operandi yang sama iaitu menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum menyeludup bekalan bunga ganja tersebut untuk pasaran di benua Eropah.
“Berdasarkan siasatan mendapati pasangan suami isteri berkenaan telah terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ini sejak dua tahun lalu.
"Menerusi serbuan itu, kita turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang digunakan oleh mereka bagi tujuan pengedaran bahan terlarang tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Shazeli menambah, hasil semakan rekod mendapati tiga suspek warga tempatan yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau. Malah, ujian saringan air kencing menunjukkan dua daripada mereka positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, serta tetrahydrocannabinol (THC).
"Dua warga asing yang ditangkap pula masing-masing berasal dari sebuah negara di Eropah dan Asia Tenggara (ASEAN). Mereka dikesan memasuki negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial," jelas beliau.
Kesemua suspek kini sedang ditahan reman di bawah kawalan pihak polis dan kes disiasat dengan rapi mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat, jika sabit kesalahan.
Berita berkaitan
October 28, 2026, 11:09 am
Geng rompak kubur di Miri tumpas, sembilan lelaki ditahan
October 27, 2026, 5:32 pm
Empat budak Myanmar direman baling batu, batang besi ke arah warga emas
October 27, 2026, 12:14 pm
Peneroka Felda Lok Heng Selatan maut ditetak lelaki mengamuk
October 27, 2026, 12:04 pm
Kes gangguan seksual: Pengetua sekolah lapor polis selepas diserang keluarga pelajar
October 26, 2026, 10:53 am
Lelaki China ditahan di Hong Kong bawa 2 kilogram kokain didakwa peroleh dadah di P. Pinang
October 19, 2026, 7:28 pm
Polis buru lelaki menyamar pengawal peribadi Raja Muda Selangor, lakukan aktiviti penipuan
October 19, 2026, 11:06 am
Geng curi motosikal tumpas, polis berkas tiga lelaki
October 18, 2026, 12:04 pm
Polis siasat hantaran provokasi bakar kedai milik warga Pakistan
October 18, 2026, 11:57 am
Wanita direman, bantu siasatan penemuan mayat bayi tidak sempurna di Terengganu
October 16, 2026, 2:49 pm
