TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Puad Zarkashi bidas Pemuda MCA hipokrit isu kerjasama UMNO dan Pas

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 Julai – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi membidas kenyataan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung yang menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya kerjasama politik antara UMNO dan Pas, dengan menyifatkannya sebagai satu tindakan hipokrit.

Menurut Puad, dakwaan pemimpin muda MCA itu yang menuduh kerjasama tersebut sebagai bercanggah dan menggadaikan prinsip parti adalah tidak berasas, memandangkan MCA sendiri pernah berada dalam situasi politik yang memerlukan kerjasama rentas ideologi demi kelangsungan kuasa.

“Apa yang Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung takut sangat kepada Pas? Dia kata, itu menggadai prinsip. Bila masa MCA ada prinsip?” soal beliau menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa memainkan sentimen agama serta momokan Islamofobia kini tidak lagi relevan dalam landskap politik semasa. Ini kerana matlamat utama setiap parti politik adalah untuk memperoleh kuasa melalui pembentukan kerjasama strategik.

Mengimbau sejarah politik tanah air, Puad memberikan contoh bagaimana Pas sendiri pernah bersikap amat bertolak ansur apabila bersetuju menawarkan penggunaan lambang parti mereka (bulan) kepada DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada tahun 2013, susulan masalah pendaftaran yang dihadapi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Ujarnya, surat kebenaran berhubung perkara itu malah turut ditandatangani oleh Setiausaha Agung Pas ketika itu, Allahyarham Datuk Mustafa Ali sebelum DAP akhirnya dibenarkan menggunakan semula lambang roket sehari sebelum hari penamaan calon.

“Kenapa Pas lembut ketika itu? Kerana objektif mereka ialah untuk kalahkan BN pada PRU 2013. Maka apa bezanya sekarang? Objektif utamanya ialah untuk tumbangkan PH pula.

"Perkembangan ini membuktikan bahawa kerjasama politik antara parti yang berbeza ideologi bukanlah satu perkara asing dalam politik negara," katanya.

Sehubungan itu, Puad berpendapat rintihan yang dibangkitkan oleh Yee Fung tidak akan mempengaruhi pendirian mahupun tindakan kepimpinan tertinggi MCA yang diterajui Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

“Gerakan dan MIPP tidak keluar PN (Perikatan Nasional). Maka Wee Ka Siong tidak akan peduli kerisauan Setiausaha Agung Pemuda MCA. Itulah politik ‘merebut kuasa’,” katanya lagi.

Sebelum ini, Yee Fung secara terbuka mempersoalkan desas-desus mengenai kemungkinan jalinan kerjasama semula antara UMNO dan Pas dengan mendakwa langkah sedemikian sebagai sesuatu yang lari daripada prinsip perjuangan asal MCA.

+ - reset