Berita Berita
'Beri alasan rakan beri, ada etnik Rohingya guna kad UNHCR palsu' - Imigresen Kelantan
KOTA BHARU, 24 Julai – Cubaan tiga lelaki etnik Rohingya menyamar sebagai pemegang sah kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dipercayai menggunakan dokumen palsu terbongkar selepas semakan kod QR pada kad berkenaan mendapati identiti pemegang tidak sepadan dengan maklumat dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Kes itu dikesan dalam Operasi Penguatkuasaan (Ops Mega) yang dijalankan JIM Kelantan di 11 lokasi tumpuan sekitar Bandar Kota Bharu dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, Jumaat.
Pengarah JIM Kelantan, Garry Belayong Anak John Siki berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun itu adalah sebahagian daripada 20 warga asing yang ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, pemeriksaan menggunakan aplikasi khas milik JIM mendapati gambar dan maklumat peribadi yang dipaparkan pada kad UNHCR tersebut adalah milik individu lain.
"Semasa pemeriksaan, pegawai mengimbas kod QR di belakang kad menggunakan aplikasi jabatan. Hasil semakan mendapati wajah pemegang kad tidak sepadan dengan gambar dalam sistem, malah data peribadi yang dipaparkan juga bukan milik mereka.
"Kita percaya kad itu palsu, namun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mendapatkan pengesahan daripada pihak berkaitan," katanya pada sidang media selepas operasi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek mendakwa kad berkenaan diberikan oleh individu lain bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan.
"Mereka tidak mengaku membeli kad tersebut, sebaliknya mendakwa ia diberikan oleh rakan. Kita sedang menyiasat sama ada wujud sindiket yang mengeluarkan atau mengedarkan kad UNHCR palsu termasuk jika melibatkan sebarang bayaran," katanya.
Menurut Garry Belayong, pemeriksaan turut mendapati kad yang digunakan itu tidak mempunyai tarikh luput sebagaimana kad UNHCR yang sah, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kesahihannya.
Dalam operasi sama, JIM Kelantan memeriksa seramai 362 warga asing berusia antara dua hingga 60 tahun yang terdiri daripada pelbagai warganegara termasuk Nepal, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Thailand, Kemboja, Myanmar dan etnik Rohingya.
Daripada jumlah itu, 20 lelaki ditahan untuk siasatan lanjut, manakala selebihnya didapati memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang masih sah.
Garry Belayong berkata, semua suspek yang ditahan akan direman bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut sama ada didakwa, dikompaun atau diusir mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau berkata, JIM Kelantan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan berdasarkan risikan serta aduan orang ramai bagi mengesan sebarang pelanggaran undang-undang imigresen.
"Hasil pemeriksaan sebelum ini mendapati kebanyakan warga asing di lokasi tumpuan memiliki kad UNHCR dan dokumen pekerjaan yang sah, namun pemantauan akan terus dipertingkatkan bersama pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.
"Setakat risikan yang dijalankan, kawasan Ketereh masih dikenal pasti sebagai antara penempatan terbesar etnik Myanmar di Kelantan dan operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya.
Berita berkaitan
July 24, 2026, 6:16 pm
Mindef perketat prosedur latihan grenad susulan insiden letupan Kem Hobart
July 24, 2026, 6:13 pm
'Malaysia bukan anti-Yahudi, tetapi menentang kezaliman Israel' – Anwar
July 24, 2026, 4:50 pm
Lelaki mengamuk di stesen minyak rupanya pemegang kad OKU, dalam rawatan psikiatri
July 24, 2026, 4:45 pm
Fenomena 'blue tears': APM tingkat pemantauan keselamatan di pantai Kuantan
July 24, 2026, 4:41 pm
Kapal tangki PETRONAS kedua lulus lalu Selat Hormuz tiba Melaka awal Ogos - PM
July 24, 2026, 4:29 pm
'F1 is back?' - KBS sahkan kemungkinan Sepang kembali jadi tuan rumah Formula 1
July 24, 2026, 4:21 pm
Khairy: Jangan jadikan UMNO, BN 'kambing hitam' kegagalan tunaikan janji
July 24, 2026, 4:04 pm
Lelaki Bangladesh didakwa ‘sentuh’, tarik seluar 7 pelajar asrama dalam bilik air
July 24, 2026, 3:12 pm
