TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki Bangladesh mengaku tidak bersalah rempuh penunggang motosikal hingga maut di Puncak Alam

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 24 Julai - Seorang pekerja kebun warga Bangladesh yang tular selepas didakwa merempuh seorang penunggang motosikal sehingga maut di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Md. Habibullah, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu sebuah kereta jenis Nissan Almera secara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhamad Jafni Baharudin, 29, di persimpangan empat Jalan Persiaran Mokhtar Dahari kira-kira jam 8.23 malam pada 21 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun, serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Alia Anisa Khairus Masnan, tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam bela Muhamad Saifullah Muhamad Azmi dan M. Partiben memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah dengan alasan anak guam mereka baru menimang cahaya mata seminggu lalu di Bangladesh.

Menurut peguam, tertuduh yang memperoleh pendapatan sekitar RM1,800 sebulan turut menanggung kedua-dua ibu bapanya di negara asal.

Beliau berhujah bahawa kesalahan itu boleh dijamin di bawah Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah, selain memaklumkan majikan tertuduh bersedia menjadi penjamin serta mematuhi sebarang syarat tambahan yang dikenakan mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan Md. Habibullah diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin warga tempatan.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan, manakala lesen memandunya ditarik balik dan digantung sehingga kes selesai.

Sementara itu, peguam M. Partiben menjelaskan pertuduhan tidak dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaankerana siasatan mendapati anak guamnya tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah ketika kejadian.

"Sebaliknya, pertuduhan dibuat atas kesalahan memandu secara melulu. Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi dan membiarkan proses mahkamah berjalan seperti biasa," katanya.

Sebelum ini, kes berkenaan tular di media sosial selepas ahli keluarga mangsa memohon bantuan orang ramai mengesan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) bagi membantu siasatan.

Mangsa, Muhamad Jafni Baharudin, disifatkan rakan-rakannya sebagai seorang yang baik dan disenangi ramai, manakala pemergiannya turut mengundang simpati serta perhatian meluas dalam kalangan pengguna media sosial.

+ - reset