TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar ucap takziah atas pemergian bekas PM China Zhu Rongji

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga bekas Perdana Menteri China, Zhu Rongji yang meninggal dunia pada usia 97 tahun.

Anwar menyifatkan mendiang sebagai antara arkitek dan tokoh penting yang membentuk transformasi ekonomi China, selain seorang sahabat baik yang banyak menyumbang kepada kebangkitan luar biasa negara itu sebagai kuasa besar ekonomi.

"China kehilangan seorang daripada arkitek hebat dalam transformasi ekonomi, dan saya juga kehilangan seorang sahabat baik. Pembaharuan yang dilaksanakan Zhu membantu mempercepat kebangkitan luar biasa negara itu sebagai kuasa besar ekonomi," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook.

Perdana Menteri mengimbas kembali kerjasama beliau bersama Zhu pada era 1990-an bagi memperkukuh hubungan ekonomi dan kewangan antara Malaysia dengan China, di mana asas yang dibina ketika itu terus menjadi teras kukuh kepada hubungan dua hala sehingga kini.

Beliau turut berkongsi kenangan peribadi bersama mendiang, termasuk lawatan ke kampung halaman Confucius, Tai Shan dan tapak bersejarah Laksamana Zheng He, selain momen disunting beberapa karya klasik China yang dipilih sendiri oleh Zhu semasa kunjungan ke perpustakaan peribadinya.

"Zhu seorang negarawan yang disegani, namun saya akan mengingati beliau terutamanya sebagai seorang insan yang mempunyai keperibadian tinggi serta didorong rasa tanggungjawab mendalam terhadap negaranya. Salam takziah kepada isteri, anak-anak beliau dan seluruh rakyat China," tambah Anwar.

Untuk rekod, Zhu berkhidmat sebagai Perdana Menteri China dari tahun 1998 hingga 2003. Mendiang diiktiraf secara meluas atas keberanian melaksanakan pembaharuan berorientasikan pasaran, penstrukturan semula perusahaan milik kerajaan, serta menerajui penyertaan China ke dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

+ - reset