TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Budak 10 tahun jaga kedai runcit di tapak pembinaan antara 59 warga asing ditahan

By
|
Kongsi
image

MELAKA, 13 Ogos – Seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia 10 tahun ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka selepas ditemui sedang menjaga sebuah kedai runcit di tapak pembinaan di Ayer Keroh, di sini pada Rabu.

Kanak-kanak berkenaan merupakan antara 59 warga asing yang ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (Ops Kutip) yang dijalankan JIM Melaka dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka di dua tapak pembinaan sekitar Bukit Baru.

Pemeriksaan mendapati kedai runcit yang diusahakan pekerja warga Indonesia itu dilengkapi pelbagai kemudahan seperti sambungan internet, komputer peribadi, pendingin hawa dan kamera litar tertutup (CCTV).

Kanak-kanak terbabit mendakwa berada di negara ini sejak lebih setahun lalu dan tidak bersekolah secara formal, sebaliknya mengikuti pembelajaran secara dalam talian sambil membantu neneknya menjaga premis berkenaan sementara ibunya pulang ke negara asal.

Turut ditahan dalam operasi itu ialah nenek kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Faridah, 58, selepas mendapati pas perjalanannya telah tamat tempoh sejak tiga tahun lalu.

Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, operasi berkenaan merangkumi pemeriksaan terhadap 73 individu membabitkan warga tempatan dan asing.

"Kesemua 59 warga asing yang ditahan berusia antara 10 hingga 54 tahun merangkumi 44 warga Bangladesh, sembilan (Indonesia), tiga (Myanmar) dan tiga (Pakistan) atas pelbagai kesalahan imigresen. Kanak-kanak lelaki itu ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, antara kesalahan yang dikesan termasuk di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, pihak KPDN Melaka turut mengenakan kompaun ke atas pemilik kedai runcit terbabit di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal mempamerkan tanda harga.

+ - reset