TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Situasi jerebu dijangka kekal tiga hingga lima hari lagi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Situasi jerebu yang melanda negara ketika ini dijangka tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara bagi tempoh tiga hingga lima hari akan datang, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional (POCGN) MetMalaysia, Maqrun Fadzli Mohd Fahmi berkata, meskipun hujan diramal berlaku di beberapa tempat, julat taburan yang kecil dipercayai belum mampu untuk memulihkan kualiti udara secara menyeluruh.

"Daripada maklumat yang kami ada setakat ini, kita tidak melihat ada satu perubahan besar daripada situasi ini. Kita jangka keadaan ini akan hampir sama juga dan dalam beberapa hari akan datang, akan ada sedikit hujan berbanding keadaan kering sekarang.

"Kita harap hujan membantu, tetapi kalau keadaan udara banyak berjerebu, hujan yang sedikit mungkin tidak mampu menghilangkan kesan jerebu tersebut," katanya ketika menjadi tetamu program Fokus 15: Ancaman Jerebu Rentas Sempadan di Bernama TV.

Mengulas lanjut, Maqrun Fadzli memberitahu keadaan berjerebu dilaporkan lebih buruk di bahagian barat dan selatan Sarawak hingga mengakibatkan penutupan lebih 100 sekolah di Serian, selain turut menjejaskan beberapa kawasan di Semenanjung termasuk Lembah Klang.

Beliau menjelaskan, faktor utama yang menyumbang kepada cuaca berkenaan ialah fenomena Monsun Barat Daya yang lazimnya berlaku dari Mei hingga September, sekali gus membawa cuaca lebih panas dan kering yang meningkatkan risiko pembakaran terbuka.

Sehubungan itu, MetMalaysia sentiasa memantau titik panas menggunakan imej satelit bagi menganalisis arah tiupan angin untuk mengunjurkan pergerakan asap serta zarah terampai, selain menasihati orang ramai supaya mengelakkan pembakaran terbuka dan mengurangkan aktiviti di luar rumah.

Setakat tengah hari Khamis, data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan 10 kawasan merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat merangkumi Samarahan, Serian, Kuching, Sri Aman, Sarikei, Mukah dan Sibu di Sarawak, serta Johan Setia, Cheras dan Minden di Semenanjung.

+ - reset