Berita Berita
Malaysia jamin keselamatan pelarian Myanmar dihantar pulang diberi keutamaan
SEREMBAN, 14 Ogos – Malaysia memberi jaminan bahawa aspek keselamatan pelarian Myanmar yang akan dihantar pulang ke negara asal akan diberikan keutamaan tinggi bagi memastikan kebajikan dan nyawa mereka sentiasa terpelihara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia tidak mahu dilihat sebagai sebuah negara yang membelakangkan nilai kemanusiaan sekiranya tindakan menghantar pulang pelarian berkenaan berisiko mengancam keselamatan mereka di negara asal.
Sehubungan itu, beliau merancang untuk berunding dengan kerajaan Myanmar bagi mewujudkan satu kawasan khas di Rakhine sebagai penempatan khusus untuk golongan yang dihantar pulang.
"Kita mahu ada jaminan keselamatan terhadap mereka yang dihantar pulang ini," katanya kepada pemberita selepas menyantuni penduduk pada program Ziarah Kasih di Taman Pinggiran Senawang, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan kerjasama rapat antara Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah penting bagi menyemak serta mengesahkan status keselamatan setiap pelarian.
Kenyataan itu menyusul selepas kerajaan Myanmar sebelum ini menyatakan kesediaan untuk membawa pulang kira-kira 5,000 pelarian negara itu yang berada di Malaysia menerusi pengangkutan laut.
Beliau menambah, ASEAN sentiasa memandang serius krisis pelarian berkenaan dan menegaskan bahawa Konsensus Lima Perkara (5PC) perlu terus kekal sebagai panduan teras bagi menyelesaikan isu terbabit secara bersama.
Dalam pada itu, Malaysia bersedia memulakan proses penghantaran pulang secara berperingkat ke atas pelarian yang telah dikenal pasti status mereka tanpa perlu menunggu jumlah keseluruhan.
"Saya telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Luar berhubung dengan kerajaan Myanmar melalui kedutaan mereka supaya membawa mereka pulang secara berperingkat. Tidak perlu menunggu hingga 5,000 orang... kalau sudah dikenal pasti 1,000 orang, boleh dihantar balik," katanya.
Berita berkaitan
August 15, 2026, 3:41 pm
Helikopter terbakar semua penerbangan di Subang ditangguh
August 15, 2026, 2:19 pm
Helikopter bawa 4 individu terbakar ketika berlepas di Lapangan Terbang Subang
August 15, 2026, 12:10 pm
Pengurusan MARA diarah semak SOP bawa pelajar ke klinik lepas 2 pelajar hilang
August 15, 2026, 11:31 am
'RM12 bilion hilang dalam TH, memang ada sakau!' – Anwar
August 15, 2026, 10:32 am
Mahasiswa mahu kebebasan, Anwar umum AUKU akhirnya dimansuhkan selepas 55 tahun
August 15, 2026, 8:52 am
Tragedi subuh, 3 sekeluarga rentung dalam kebakaran di Muadzam Shah
August 15, 2026, 5:49 am
Dua pelajar MRSM Alor Gajah ditemui selamat di Pasar Seni - Asyraf Wajdi
August 14, 2026, 8:29 pm
