TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes juruterbang seludup dadah: Polis rungkai punca bolos saringan keselamatan KLIA

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA, 14 Ogos – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman memperoleh maklumat baharu berharga berhubung kes seorang juruterbang warga Malaysia yang ditahan Pihak Berkuasa Indonesia selepas dipercayai menyeludup dadah.

Dapatan baharu itu diperoleh menerusi sesi pertemuan dan soal siasat terhadap suspek yang dijalankan oleh pasukan penyiasat JSJN di Jakarta, Indonesia dengan kerjasama Polis Republik Indonesia (Polri).

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek memberikan kerjasama yang baik sepanjang sesi soal siasat serta menyalurkan maklumat penting berkaitan rangkaian sindiket dadah antarabangsa.

"Hasil pertemuan selama dua hari pertama, pasukan JSJN berjaya mengenal pasti penglibatan suspek, rangkaian serta aliran kewangan sindiket dadah di dalam dan luar negara.

"Pertemuan itu turut merungkai bagaimana suspek berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Walau bagaimanapun, Hussein enggan mengulas lanjut berhubung kaedah khusus yang digunakan suspek untuk melepasi saringan di KLIA, namun mengesahkan pihak polis kini sedang giat menjejak ahli sindiket lain yang berada di Malaysia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Polri yang memberikan kerjasama baik serta membenarkan tempoh pertemuan dan soal siasat dilanjutkan dari jadual asal.

Sebelum ini, sepasukan pegawai penyiasat JSJN Bukit Aman telah dihantar ke Jakarta bermula 11 hingga 15 Ogos bagi membantu siasatan susulan penahanan suspek di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 28 Julai lalu kerana disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah.

+ - reset