TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tindakan ahli keluar parti tidak jejas kestabilan PKR - Ketua AMK

By
|
Kongsi
image

MELAKA, 14 Ogos – Tindakan segelintir ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertindak keluar parti untuk menyertai entiti politik lain ditegaskan tidak menggugat kestabilan serta kelancaran organisasi berkenaan secara keseluruhan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Ahmad Munim berkata, walaupun terdapat ahli yang memilih untuk beralih arah atas alasan hilang kepercayaan, kepimpinan sayap pemuda itu menghormati keputusan berkenaan sebagai hak peribadi individu.

"Saya tidak tahu peratusan tepat, namun mengikut laporan dan angka yang kita ada, jumlah yang keluar itu tidak signifikan dan sama sekali tidak menjejaskan perjalanan organisasi.

"Hari ini kita dapat lihat parti terus mengukuh dan kehadiran perwakilan yang tinggi melambangkan komitmen serta tekad padu mereka untuk kekal bersama PKR," katanya pada sidang media bersempena Kongres Nasional AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini pada Jumaat.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan bagi mengulas dakwaan Pengasas Bersama Parti Bersama Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendakwa kira-kira 25 peratus keahlian parti baharu itu terdiri daripada bekas ahli PKR.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai status Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang kini dilaporkan sedang bercuti, Muhammad Kamil memaklumkan perkara berkenaan tidak memberi sebarang sebarang implikasi negatif terhadap momentum parti.

Beliau menjelaskan gerak kerja parti tetap berjalan lancar menerusi penyelarasan tugasan, termasuk mandat yang dipikul oleh Naib Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Seri Amirudin Shari.

"Langkah itu tidak menjejaskan usaha kita untuk memperkukuh organisasi sebagai persediaan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Pembahagian tugas telah dibuat secara jelas dan diterima baik oleh peringkat akar umbi," katanya.

+ - reset