TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tindakan pegawai kanan polis kejar, rempuh mangsa disifatkan melulu dan berbahaya

By
|
Kongsi
image

IPOH, 14 Ogos – Pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini menegaskan tindakan seorang pegawai kanan polis mengejar dan merempuh seorang pelajar tingkatan lima menggunakan kenderaan disifatkan sebagai perbuatan yang amat berbahaya serta menunjukkan sikap melulu yang luar biasa.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz berkata, tertuduh, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak dikesan mengejar mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie dalam jarak dekat dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu boleh mendatangkan kematian.

Menurutnya, tertuduh tidak memperlahankan kenderaan Perodua Ativa dipandunya walaupun melalui bonggol di kawasan sekolah, sebaliknya terus mengekori rapat sebelum merempuh mangsa dari bahagian belakang di satu persimpangan.

"Tindakan yang dilakukan oleh tertuduh bukan sahaja amat berbahaya malah menunjukkan sikap melulu yang luar biasa. Terdapat bukti yang jelas mengenai tindakan sengaja mengejar dan mengekori rapat mangsa yang tidak diketahuinya dari belakang," katanya ketika menggulung hujah di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada Jumaat.

Menjawab isu pembelaan mengenai ketiadaan kesan bunga tayar pada badan mangsa, Afzainizam menjelaskan keterangan pakar patologi mengesahkan faktor pakaian tebal mangsa mungkin melindungi kesan berkenaan.

Beliau menambah, data Perakam Data Acara (EDR) mengenai kelajuan dan brek kenderaan tertuduh juga telah diekstrak secara sah oleh pembantu teknikal Perodua menggunakan perisian khas bagi mengekalkan integriti analisis.

Mahkamah Tinggi menetapkan 28 Oktober depan bagi memutuskan sama ada Mohd Nazri, 46, dibebaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati pada 15 Disember 2023.

+ - reset